Sarah Suhairi tak mahu kekal selesa - Utusan Malaysia

Sarah Suhairi tak mahu kekal selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERGELAR Juara Big Stage musim pertama sememangnya membuka ruang dan peluang berbeza untuk Sarah Suhairi. Namanya terus memuncak. Dia juga disebut-sebut sebagai antara pelapis penyanyi wanita hebat kelak.

Namun percaturannya harus disusun kemas sekarang. Dia tidak boleh bermain-main dan hanya mengharap sokongan peminat. Halwa telinga harus disaji dengan seleksi lagu-lagu malar segar yang menjadi portfolionya kelak.

Melihat kanvas seni Sarah, dia berani mencuba sesuatu yang berbeza. Bermula dengan genre balada, dia kemudian menguji kemampuan dengan genre berbeza seperti pop pula. Itu membuktikan dia berbeza.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengakui dirinya seorang yang suka mencuba, Sarah tidak meletak dirinya selesa salam satu zon sahaja. Dia perlu membuktikan kemampuan dan berani mengambil risiko. Sementelah dia baru berusia 21 tahun.

“Setakat ini, saya masih mampu berdiri dalam industri. Sokongan peminat itu tidak pernah luntur. Saya juga tidak mahu kekal selesa dalam satu zon sahaja. Saya try and error. Tak suka, tak mengapa.

“Saya sendiri pada awal pembabitan tidak mahu kekal dalam satu genre sahaja. Di saat ini, adalah penting untuk saya mencuba. Kalau bukan sekarang bila lagi kan? Lagipun dunia muzik ini luas?,” kata anak kelahiran Selangor ini.

Detik ini, ramai yang cuba mencari salah penyanyi muda. Setiap kesilapan dicanang dan dijadikan senjata. Oleh sebab itu, kematangan mental dan jiwa harus kental. Tidak boleh patah semangat.

Menyedari itu, Sarah sentiasa memperbaiki kelemahan diri. Setiap kritikan dijadikan buku panduan untuk dia belajar. Malah, dia juga tidak mahu kalah dengan komen yang hanya tahu merosak jiwa.

“Saya bukan seorang punya bakat nyanyian. Saya belajar. Kita perlu mencari di mana kelemahan diri. Dari situ, kita tingkatkan kemampuan dengan memasuki kelas atau mencari seseorang yang mahir.

“Pendatang baharu perlu belajar untuk memperbaiki diri. Tidak boleh sombong. Kawal diri supaya tidak riak dengan bakat yang ada. Semua sedia maklum kan, dunia seni ini penuh pancaroba?” katanya.


Mungkin hadiah Sarah

Lebih sebulan melancarkan single baharu, Mungkin, peningkatan vokal dan nyanyian Sarah seharusnya dipuji. Dia berani untuk mencuba sesuatu yang baharu. Baik daripada konsep lagu dan muzik videonya.

Bercerita tentang mengapa Mungkin menjadi pilihan, Sarah mula jatuh cinta dengan lagu tersebut saat pertama kali mendengarnya. Dia mahu terus mengunci lagu ciptaan Rinkarnaen, Ariff Bahran dan Zack Merican menjadi miliknya.

“Ketika itu Ariff memperdengar lagu itu kepada pihak pengurusan dan kebetulan saya lalu. Lantas saya tanya, lagu ini untuk siapa. Kalau bukan milik sesiapa, boleh beri kepada saya? Itu permulaannya,” kata Sarah.

“Saya sendiri sudah lama tidak ada single solo. Sebelum ini ada tetapi semuanya berduet dengan orang lain. Sudah masanya untuk saya tampil dengan single solo untuk peminat semua,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini