KAMPAR: Seorang peniaga ayam segar di sini, Abdul Hamid Jaafar, 56, mengeluh kerana perniagaannya makin merosot berikutan pelanggan mencatu belanja menyebabkan mereka kurang membeli ayam
“Entahlah, jual ayam tidak laku macam dulu kerana biasanya dalam sehari sebanyak 100 ekor boleh jual tetapi sekarang 50 ekor pun susah.
“Saya fikir mungkin ia disebabkan faktor ramai pembeli telah menghabiskan duit untuk ‘hal ehwal’ persekolahan anak selain bertembung dengan Ramadan dan menjelang Aidilfitri pula,” katanya di sini.
Abdul Hamid yang berniaga lebih 20 tahun menjual ayam segar di pasar pagi Kampar memberitahu, berbanding dahulu, pembeli biasanya akan membeli seekor hingga dua ekor ayam sekaligus namun kini hanya setengah ekor.
“Ramai pembeli mendakwa terpaksa mencatu makanan kerana harga barangan keperluan yang naik sekarang jadi mereka membeli dengan sekadarnya sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, hanya untung 90 sen bagi setiap sekilogram ayam segar yang dijual.
“Keuntungan makin kecil tidak seperti dahulu selain perlu membayar sewa tapak niaga, minyak kenderaan dan pekerja lagi.
“Namun, dah lebih 20 tahun berniaga selain faktor umur, apa pekerjaan lain yang boleh saya lakukan,” katanya. –UTUSAN










