Sheryl Shazwanie tak jual kisah cinta - Utusan Malaysia

Sheryl Shazwanie tak jual kisah cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seantero Malaya tahu kisah cinta antara Sheryl Shazwanie dan Azzam Sham. Ramai yang suka dan ‘bersemut’ dengan mereka. Namun satu yang harus dipuji, mereka berdua tidak jual kisah cinta untuk popular.

Ditanya mengapa, Sheryl membalas dengan senyuman. Dia tahu bakat adalah kunci utama kejayaan. Jadi untuk apa dia menjaja kisah cinta semata-mata untuk populariti? Sementelah dia juga belum pasti.

“Kami berdua tidak ada cerita apa pun untuk dikongsi. Cukup sekadar semua tahu kami memang berkawan rapat. Azzam dari awal memang sudah cakap, dia tidak mahu sorok daripada peminat. Tak ada rahsia apa pun.

“Cuma lebih baik kami fokus kepada karier terlebih dahulu. Saya hargai peminat yang mendoakan kami. Saya juga mendoakan agar apa yang dirancang akan dipermudahkan. Cuma kami masih muda, jauh lagi perjalanan,” katanya.

Jawapan itu seolah-olah memberi bayangan kepada soalan yang seterusnya. Sheryl sememangnya seorang yang lemah lembut. Jawapan yang dilontar disusun dahulu. Penuh adab dan santun, sama seperti mula kami bersua bicara dulu.

Lantas soalan mengapa Azzam menjadi pilihan, dia tersipu malu. Seraya tertawa kecil dia menjawab, kematangan lelaki itu menjadi tarikan utama.

“Azzam seorang yang memahami dan sentiasa memberi sokongan. Setiap kali saya down, dia ada. Beri kata-kata semangat. Saya seorang yang tidak yakin dan kurang percaya diri, jadi dia memberi sinar berbeza,” kata gadis berusia 23 tahun ini.

Jangan Ragu

Tampil dengan single baharu, Jangan Ragu, Sheryl mengakui penerimaan peminat agak perlahan. Namun, diam tak diam muzik video lagu tersebut sudah mengumpul lebih 180,000 tontonan sejak dilancarkan Februari lalu di Youtube.

Mungkin ramai yang mahu melihat gandingan Sheryl dan Azzam dalam video rasmi tersebut, namun tinggal harapan. Luncur ke ruangan komen, ramai yang memuji lunak dan merdu suara penyanyi kecil molek ini.

Jangan Ragu adalah hasil ciptaan sepenuhnya Asfan Shah. Saya memberi kebebasan kepada syarikat pengurusan untuk memilih lagu dan konsep yang bersesuaian. Saya ini mudah, just go with the flow.

“Ada peminat yang kecewa bila kelibat Azzam tiada dalam muzik video tersebut. Tetapi takkan kita mahu belanja semua kan?” seloroh penyanyi popular dengan lagu Perasaanku yang mendapat 16 juta tontonan di Youtube.

Cipta lagu sendiri

Berbicara tentang perancangan akan datang, Sheryl tidak menolak akan sampai satu ketika dia bakal menulis lagu dan lirik sendiri. Namun ketika ini, dia tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri.

“Memang ada impian cuma mungkin bukan sekarang. Saya lebih selesa diatur oleh pihak pengurusan. Jika baik bagi mereka, maka baik bagi saya. Tetapi itu tidak bermakna saya seperti lembu dicucuk hidung.

“Memang pihak pengurusan menggalakkan saya untuk mencuba menulis lagu dan lirik sendiri. Ada juga cuba-cuba dan bertanya dengan rakan-rakan. Cuma entahlah, saya tak yakinlah dengan kemampuan,” katanya.

Entah apa yang merantai kakinya, dia seolah-olah tidak percaya dengan diri. Padahal andai diamati, dia mempunyai suara yang hebat jika diasah. Tetapi dia mudah sahaja menyimpan itu semua.

Kurang yakin diri, kelembutannya mungkin kelak memakan diri. Tetapi kita harus percaya kepada rezeki. Sejujurnya, penulis mendoakan agar dia bertemu lagu yang mampu menyerlahkan kemampuan vokal sebenarnya.

Di kala ini, pihak pengurusan harus memikirkan langkah seterusnya. Dia masih ada tempat dalam industri dan hati peminat. Sayang jika bakatnya disorok dalam. Sheryl juga perlu ada keberanian.

Jangan takut dilambung ombak dik! Tiada ruginya untuk mencuba sesuatu yang baharu. Perbezaan itu adalah satu permulaan untuk terus mendaki puncak seni. Bukan populariti menjadi sasaran, tetapi kepuasan diri sendiri dalam berkarya!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×