Suami isteri rugi RM32,000 disamun dua lelaki - Utusan Malaysia

Suami isteri rugi RM32,000 disamun dua lelaki

SUSPEK yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun pasangan warga emas di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki di sebuah bilik sewa di Jalan Changkat Jong di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.30 pagi, 6 Mac lalu ketika mangsa berusia 48 tahun dan isteri 41 tahun baru tiba di bilik sewa tersebut.

Katanya, mangsa kemudian didatangi dua lelaki dipercayai warga tempatan yang mengugut dan memaksa mereka membuka pintu bilik.

“Disebabkan takut, mangsa menuruti arahan suspek untuk membuka pintu bilik.

“Suspek telah menggeledah bilik dan menjumpai wang simpanan mangsa berjumlah RM32,000 yang disimpan dalam beg pakaian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, selepas mendapatkan wang tersebut, suspek yang tidak bersenjata telah menarik mangsa lelaki masuk ke dalam kereta namun dia berjaya melarikan diri.

Katanya, dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di sebuah restoran di sini tidak mengalami kecederaan.

“Hasil siasatan melalui rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an dan berbadan gempal dengan ketinggian 175 sentimeter.

“Mangsa telah membuat laporan polis berkaitan kejadian itu pada 8 Mac lalu. Mangsa lewat membuat laporan polis kerana panik dan takut diganggu suspek sebelum diarahkan majikan untuk melaporkan perkara itu kepada polis,” katanya.

Tambah beliau, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×