BARU-BARU ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menyentuh tiga perkara penting berkaitan reformasi pendidikan, iaitu memberi ruang kepada murid menilai guru dan prestasi pentadbir, memberi hak kepada guru menilai prestasi pentadbir termasuk aspek sokongan dan keprihatinan guru, serta menggerakkan Jemaah Nazir turun ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan agenda reformasi sampai ke sekolah.
Tiga langkah ini membuka ruang penting dalam membina ekosistem pendidikan yang lebih terbuka. Reformasi bukan sekadar memperkenalkan dasar baharu tetapi bagaimana perubahan itu diterjemahkan dalam kehidupan sebenar di sekolah, termasuk pengalaman murid, guru dan pentadbir.
Akauntabiliti pendidikan tidak seharusnya bergerak dalam satu arah. Jika guru dinilai pihak atasan, mereka juga perlu diberi ruang memberikan maklum balas terhadap kepimpinan yang dialami. Begitu juga murid yang menilai guru. Penilaian perlu dilihat sebagai maklum balas untuk penambahbaikan, bukan mencari kesalahan.
Suara murid penting kerana mereka paling dekat dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Namun, pandangan mereka perlu diurus dengan berhati-hati dengan mengambil kira usia, kematangan serta konteks pengalaman.
Jika dilaksanakan dengan baik, penilaian murid boleh menjadi cermin kepada guru untuk memahami pengalaman pembelajaran dari perspektif berbeza.
Pada masa sama, suara guru tidak kurang penting. Mereka berdepan secara langsung dengan realiti bilik darjah, murid, ibu bapa, beban tugas dan perubahan dasar. Justeru, maklum balas guru terhadap pentadbir boleh menjadi sumber penting untuk memperkukuh kepimpinan sekolah.
Namun, guru perlu berasa selamat untuk memberikan pandangan secara jujur dan profesional. Jika hanya pandangan yang dianggap selamat diberikan, maka maklum balas yang diperoleh belum tentu menggambarkan keadaan sebenar.
Konsep sokongan dan keprihatinan guru perlu dilihat lebih luas daripada soal kebajikan. Guru memerlukan sokongan untuk menghadapi perubahan, pemimpin yang memahami cabaran di lapangan serta ruang untuk berkembang secara profesional.
Penilaian yang baik bukan sekadar menunjukkan kelemahan tetapi turut membantu mencari jalan memperbaikinya. Begitu juga pentadbir perlu melihat maklum balas guru sebagai peluang melakukan refleksi dan memperkukuh kepimpinan, bukan sebagai ancaman.
Sementara peranan Jemaah Nazir di PPD dan sekolah penting supaya reformasi tidak terhenti pada dasar, arahan atau dokumen. Pemantauan perlu melihat bukan sahaja sama ada arahan dilaksanakan tetapi kesannya terhadap warga sekolah.
Adakah murid merasakan suara mereka didengar? Adakah guru mendapat sokongan? Adakah pentadbir terbuka menerima maklum balas? Jawapan kepada perkara ini membantu menggambarkan keberkesanan sebenar reformasi.
Kejayaan reformasi juga tidak wajar diukur berdasarkan jumlah program, mesyuarat atau laporan semata-mata. Ukuran sebenarnya ialah perubahan dalam amalan dan pengalaman warga sekolah. Ada perubahan yang memerlukan masa untuk diterjemahkan kepada amalan sebelum manfaatnya dapat dilihat.
Cabaran terbesar ialah memastikan budaya penilaian tidak berubah menjadi budaya ketakutan. Sekolah tidak seharusnya menjadi tempat guru takut bersuara, murid takut memberikan pandangan atau pentadbir takut menerima teguran.
Kita perlu bergerak daripada budaya takut kepada budaya belajar. Dalam budaya ini, penilaian bukan untuk menghukum, maklum balas bukan untuk menjatuhkan dan teguran bukan untuk mencari kesalahan. Semuanya menjadi ruang untuk memahami keadaan serta melakukan pembaikan.
Pada akhirnya, reformasi pendidikan bukan sekadar tentang siapa menilai siapa. Ia tentang kesediaan untuk saling mendengar, menerima maklum balas, memberi sokongan dan memperbaiki kelemahan.
Ukuran sebenar reformasi ialah sejauh mana perubahan itu dirasai oleh mereka yang berada di sekolah setiap hari. –UTUSAN
SAMIHA MOHD. SALLEH
Kota Tinggi, Johor










