Cabang Razer Fintech dijenama semula sebagai Fiuu

Cabang Razer Fintech dijenama semula sebagai Fiuu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Razer Fintech, cabang teknologi kewangan Razer Inc., bersama unit pembayaran perniagaan ke perniagaan (B2B)nya, Razer Merchant Services (RMS), memperkenalkan inisiatif penjenamaan semula yang dinamik.

Syarikat itu melancarkan nama tunggal, logo dan identiti baharu dikenali sebagai Fiuu, sekali gus menandakan rancangan bercita-cita tingginya untuk menjadi peneraju dalam perkhidmatan pembayaran digital masa depan.

Menuju ke hadapan, Fiuu, dilihat bersedia untuk beroperasi sebagai anak syarikat kendiri Razer Inc., dalam usahanya untuk memperkasakan segmen pelanggan perniagaan dan individu, selaras dengan keperluan pembayaran yang semakin berkembang.

“Langkah strategik ini mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian pembayaran yang inovatif kepada peniaga di seluruh dunia,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Katanya, sebagai sebahagian daripada inisiatif penjenamaan semula, Lee Li Meng akan menyerahkan tampuk kepimpinannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kepada Eng Sheng Guan, di mana beliau seterusnya akan mengambil peranan baharu sebagai Pengerusi Eksekutif Fiuu, berkuat kuasa 1 Mac 2024.

Dengan pengalaman luas Eng yang telah terbukti sejak lebih 25 tahun dalam industri pembayaran dan kepimpinan, pelantikannya menandakan lembaran baharu dalam hala tuju pertumbuhan dan inovasi syarikat.

“Menerusi kepimpinannya, Fiuu menyasarkan untuk mencapai tahap baharu dalam industri fintech,” katanya.

Sementara itu, Lee berkata, penjenamaan semula Syarikat bukan sekadar perubahan nama; ia merangkumi visi untuk memperkasakan perkhidmatan pembayaran masa depan.

“Kami berusaha untuk memperkasakan pengalaman pembayaran yang lancar dan memacu era baharu perniagaan. Dengan ekonomi digital Asia Tenggara yang berkembang pesat dan unjuran pendapatan dijangka mencecah AS$295 bilion menjelang 2025, komitmen kami adalah untuk memacu kepentingan penyelesaian pembayaran yang inovatif menjadi lebih lebih besar lagi,” katanya.

Menurut Lee, inisiatif penjenamaan semula itu menandakan peristiwa penting bagi syarikat yang telah berkembang dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, ia membolehkan perniagaan fintech meneruskan hala tujunya secara bebas daripada jenama Razer, yang akan memberi tumpuan kepada perniagaan permainan.

“Saya berbangga dengan pencapaian pasukan ini, dan saya percaya Eng akan dapat membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi dengan sokongan berterusan daripada peniaga dan rakan kongsi kami,” katanya.

Sejak penubuhannya, Razer Fintech telah menjadi peneraju dalam industri pembayaran digital di Asia Tenggara, dengan merintis banyak inisiatif baharu, hasil sokongan pedagang utama dan rakan kongsi, selaras dengan persekitaran industri yang berkembang pesat terutamanya dengan lonjakan dalam keperluan pembayaran digital ekoran pandemik Covid pada 2020.

Menerusi Fiuu, jenama itu kekal komited terhadap inovasi dan keselamatan, dengan memastikan tawarannya kekal di barisan hadapan dalam landskap pembayaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×