Pesara tentera ketagih beli barang online - Utusan Malaysia

Pesara tentera ketagih beli barang online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak bersara pada 2014, pesara tentera, Norhayati Johari, 53, memaklumkan sudah terbiasa membeli produk secara dalam talian.  

Apatah lagi, ketika itu, banyak rancangan jual beli yang ditayangkan dalam televisyen sehingga membuatkan dirinya rambang mata. 

Yakin dengan setiap barangan yang diiklankan, ibu dua anak ini tidak teragak-agak membuat pembelian menggunakan kaedah penghantaran tunai (COD).    

“Kalau dihitung sudah lebih 30 barangan secara dalam talian membabitkan kos ribuan ringgit saya beli. 

“Barang apa yang saya beli, saya akan buat catatan berserta amaun dikeluarkan dalam buku nota. Antaranya, pinggang-mangkuk, periuk, mesin pengisar dan vakum.

“Namun, lama-kelamaan saya perasan barangan elektrik yang dibeli tidak tahan lama dan cepat rosak,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini. 

Norhayati mengakui pernah tertipu dengan penjual yang memperdaya pembeli dengan bungkusan gambar yang cantik. 

“Saya pernah beli payung tetapi yang sampai di rumah termos. Harga pula murah, jadi saya terima sahaja barangan itu. 

“Ada juga kes beli ikan masin, tetapi yang sampai sudah berulat. Begitu juga dengan kurma, bungkusan nampak cantik, tetapi bila makan rasanya sudah tidak segar dan seperti stok lama,” luahnya berkongsi pengalaman.  

Seiring peredaran zaman, wanita ini mula terjebak melakukan pembelian barang secara dalam talian menerusi akaun TikTok, tahun lalu. 

Disoal bagaimana punca boleh mengetahui akses pembelian menerusi platform berkenaan, semuanya gara-gara diajar oleh anaknya. 

“Anak saya ajar sekali terus pandai. Saya lebih suka beli baju atau barangan berasaskan fabrik di TikTok. 

“Ada hari, ia dijual jauh lebih murah berbanding di kedai lebih-lebih lagi ketika musim penghabisan stok. 

“Kalau beli baju kurung saya pakai okey dan selesa, memang saya akan kerap membeli dengan jenama yang sama,” kongsinya yang membuat pembelian pada setiap minggu. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×