JERANTUT: Seorang anak peneroka maut dihempap dinding konkrit setinggi kira-kira lima meter yang runtuh semasa sedang membersihkan dapur sebuah rumah tinggal di Felda Kota Gelanggi 1, di sini petang semalam.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Raja Mohd. Arif Raja Shamsudin berkata, mangsa yang dikenali Mohd. Asri Azam, 41, dihempap dinding konkrit sebuah rumah tinggal milik jirannya.
Menurutnya, bomba menerima maklumat daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) petang semalam lalu bergegas ke lokasi.
Katanya, pihaknya menggunakan peralatan khas untuk memecah dinding konkrit bagi membawa mangsa keluar.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan seterusnya diserah kepada polis untuk tindakan selanjut.
“Hampir seluruh badan mangsa tersepit di bawah dinding sepanjang lima meter dengan lebar kira-kira 5.4 meter.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian dan bomba menghadapi sedikit kesukaran ekoran keadaan dinding yang agak padu serta kedudukan mangsa yang terperangkap di bawah dinding,” katanya kepada media hari ini.
Raja Mohd Aris berkata, pihaknya tidak menolak kejadian berpunca akibat ikatan atau paku dinding konkrit tertanggal atas faktor terbiar lama.
Beliau juga memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut di sini untuk bedah siasat. – UTUSAN










