HATYAI: Menyedari rakyat di Thailand masih kurang menguasai bahasa Inggeris mendorong Suwaibah Ayohsae, 25, menjadi tenaga pengajar untuk mendidik kanak-kanak seawal usia tiga tahun dan juga individu dewasa.
Beliau menjadi salah seorang tenaga pengajar di Oxford Language Centre Pattani yang telah beroperasi sejak 14 tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, kebanyakan rakyat di negara tersebut kurang pendedahan mengenai bahasa Inggeris.
Oleh itu, katanya, pusat berkenaan yang dimiliki seorang warga Kelantan menjadi platform untuk mereka belajar bahasa Inggeris khususnya dari segi kemahiran bertutur sebelum menyambung pelajaran di luar negara.
Katanya, selain kanak-kanak, dia juga mengajar orang dewasa terutama pelajar di sini yang bakal menyambung pelajaran di luar negara atau sesi pertukaran pelajar.
“Kebanyakan pelajar di Thailand termasuk kanak-kanak di sini hanya menguasai bahasa Inggeris di peringkat asas.
“Di sini, kita akan fokus memberi pendedahan terutama mengenai kemahiran bertutur bahasa Inggeris dengan baik. Ramai yang berminat untuk belajar bahasa Inggeris ini termasuk kanak-kanak,” katanya.
Tambah Suwaibah, dia menguasai bahasa Inggeris kerana pernah belajar di Malaysia iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) agama di Kuala Lumpur.
Selepas itu, katanya, dia menyambung pula pengajian di Universiti Muhammadiyah Malang, Indonesia dengan dia mula menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
“Di Thailand, sistem pembelajaran bahasa Inggeris cukup berbeza dengan Malaysia dengan pendedahan bahasa Inggeris di sini masih kurang,” katanya.
Selain sebagai guru, Suwaibah juga terlibat sebagai penterjemahan membabitkan program-program antara negara khususnya membabitkan lima wilayah di Selatan Thailand. – UTUSAN










