Polis kesan kanak-kanak digigit anjing liar - Utusan Malaysia

Polis kesan kanak-kanak digigit anjing liar

Anjing liar
NORHASHIQIN Rosli menunjukkan gambar anaknya Nur Acha Dawina yang cedera digigit anjing dekat kawasan rumahnya di Flat Taman Suria Pendamar, di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis menggesa ibu kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan anjing liar dekat Flat Taman Suria Pendamar, di sini pada Ahad lalu supaya tampil membuat laporan di balai berdekatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya sedang mengesan mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut selepas seorang daripada penduduk di situ membuat laporan polis menafikan haiwan itu kepunyaannya.

“Kita masih lagi kesan mangsa untuk kes tersebut, yang buat report adalah seorang lelaki berusia 50-an yang dikatakan sebagai pemilik kepada anjing tersebut, tetapi bukan. Difahamkan, haiwan itu adalah anjing liar, kita sudah buat siasatan awal.

“Jadi, kita dalam proses dan saya arahkan pegawai penyiasat mengesan mangsa tersebut untuk kita ambil tindakan selanjutnya. Mangsa tak buat laporan, saya minta mangsa atau ibunya tampil untuk buat laporan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau menambah, kes tersebut diambil maklum dalam mesyuaratnya bersama pegawai-pegawai Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam dan turut meminta bantuan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) untuk menangkap haiwan liar itu.

Jelas Hoong Fong, dalam laporan tersebut, pengadu mendakwa menerima panggilan daripada ahli keluarganya memberitahu dia dicari oleh jiran-jirannya yang mempercayai anjing berkenaan miliknya.

Anjing liar
CHA Hoong Fong ditemui pemberita dekat IPD Klang Selatan di Klang, Selangor, hari ini. – UTUSAN / SADDAM YUSOFF

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun terpaksa menjalani pembedahan dan menerima 15 jahitan pada kepala dan badan selepas digigit dua ekor anjing liar.

Insiden tersebut berlaku ketika mangsa bersama ibu saudaranya turun dari tingkat tiga rumahnya untuk membuang sampah di pusat pengumpulan sebelum tiba-tiba diekori sekumpulan anjing liar.

Tragedi yang berlaku pada Ahad lalu itu menyebabkan Nur Acha Dawina, 11, mengalami luka parah di bahagian kepala, telinga kanan dan lengan kiri selain kesan cakar dan gigitan pada belakang badan dan kaki.

Menurut ibu mangsa, Nurhashiqin Roasli, 29, anaknya itu sepatutnya mula bersekolah di sekolah baharunya, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Idaman dia sekeluarga baru berpindah di rumah tersebut dari Jeram, Kuala Selangor kira-kira sebulan lalu.

Katanya, dia menyedari kewujudan anjing-anjing liar di kawasan perumahan tersebut namun tidak menyangka anaknya menjadi mangsa keganasan haiwan tersebut sehingga terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.

“Anak saya digigit dekat bahagian kepala sehingga terkoyak kulit kepalanya, tulang lembut telinga kanannya terkeluar, kesan cakar dekat badan belakang serta gigitan lain di lengan dan kaki. Mujur ada lelaki penunggang motosikal halau, kalau tidak pasti anak saya sudah tak ada.

“Sebelum kejadian, dia menemani ibu saudaranya pergi membuang sampah dekat rumah sampah di tingkat bawah, namun berasa takut apabila mereka diekori dan bertindak lari jauh dari ibu saudaranya kerana panik dan terlalu takut,” ujarnya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang tinggal di flat berkenaan, G. Ramesh, 48, memberitahu dia mendengar kekecohan dan bunyi banyak anjing menyalak ketika kejadian sebelum melihat seorang kanak-kanak sedang digigit haiwan berkenaan.

Malah, dia memaklumkan, kewujudan kumpulan anjing sekitar lima atau enam ekor di kawasan perumahan berkenaan bukan perkara baharu dan kanak-kanak malang itu bukan mangsanya yang pertama.

“Yang peliknya, ada orang sanggup beri makan kepada anjing tersebut menyebabkan haiwan itu semakin ramai datang ke kawasan perumahan tanpa menghiraukan keselamatan penduduk di situ.

“Lebih teruk, anjing-anjing itu naik sampai tingkat satu dan mengganggu penduduk. Cuma semalam (Isnin) baru nampak petugas MBDK menangkap anjing-anjing tersebut, tetapi masih ada lagi yang berkeliaran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×