Tiada Menu Rahmah di Bazar Ramadan Rahmah

Tiada Menu Rahmah di Bazar Ramadan Rahmah

RATA-RATA pengunjung BRR Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka mengeluh susulan harga juadah yang semakin mahal berbanding tahun lalu. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Hanya kuih-muih dan air balang sahaja yang dijual pada harga bawah RM5 di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Masjid Tanah di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan menu berat seperti nasi lemak, nasi tomato, martabak, roti john, laksa dan mi kari dijual pada harga antara RM5 hingga RM10.

Seorang pengunjung, Nor Hazima Yusof, 51, berkata, terdapat kenaikan harga juadah seperti bubur kacang hijau dan sate pada tahun ini.

Katanya, selain harga yang mahal kuantiti hidangan turut dikecilkan.

“Tiada harga rahmah, makin naik lagi adalah. Harga bubur kacang hijau naik kepada RM5 berbanding RM3 dan RM4 semangkuk.

“Portion (saiz hidangan) turut dikecilkan tapi harga mahal. Saya beli sate beberapa cucuk, nasi kerabu, kuih akok dan air pun sudah berhabis lebih RM30,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, empat BRR beroperasi sepanjang Ramadan di negeri ini yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Timbalan Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Zulkiflee Mohd. Zin berkata, lokasi BBR adalah di Taman Cempaka, Masjid Tanah, Jasin Bestari dan Masjid Al-Alami MITC, Ayer Keroh.

Menurutnya, BBR menempatkan kira-kira 50 peniaga di lokasi terpilih dengan menawarkan sekurang-kurangnya satu Menu Rahmah dengan harga di bawah RM5.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Nur Shafiqa Jailani, 21, berkata, harga kuih-muih semakin mahal iaitu antara 50 sen dan 60 sen sebiji.

Menurutnya, juadah lain seperti roti john turut mengalami kenaikan harga sebanyak RM1.

“Pada saya harga makanan kali ini tidak banyak berubah berbanding tahun lepas. Roti john berharga RM7 berbanding RM6 sebelum ini. Kuih popia pun 50 sebiji.

“Hanya air balang dan kuih sahaja yang dijual bawah RM5. Pada saya ini bukan harga rahmah tetapi sama seperti tahun lepas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×