BESUT: Deretan air balang ‘antarabangsa’ dalam pelbagai variasi perisa dan warna mencuri tumpuan pengunjung di Bazar Ramadan Kota Putera, di Kampung Raja di sini semalam.
Mohd. Saufi Mat Ghani, 54, berkata, idea untuk mengetengahkan air balang tersebut yang menggunakan nama beberapa negara dicetuskan anak sulungnya Azzam Nur Hakim Mohd. Saufi, 23, bagi membawa kelainan ketika berniaga di bazar Ramadan tahun ini.
Menurutnya, setakat ini, dia menjual sebanyak 40 balang air antarabangsa pada setiap hari.
“Antara jenis air yang dijual di gerai kami adalah Teh Hijau Thailand, Teh Beng Thailand, Manggo Bangkok, Katira Singapura, Laicikang Utaroo, Barli Mix Borneo serta banyak lagi.
“Pembeli air balang yang dijual itu tertarik melihat kelainan yang kita bawakan dan sekaligus membezakan produk jualan kita dengan peniaga lain meskipun ramai yang turut berniaga air balang,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Kota Putera, Kampung Raja sini, semalam.
Dia berkata, jumlah jenis air balang yang dijual pada tahun ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu.
Menurutnya, selain itu, perisa air minuman yang dijual itu juga mengikut selera pelbagai peringkat umur pengguna.
“Kita juga masih mengekalkan harga lama iaitu RM5 bagi satu plastik atau satu gelas air bersaiz besar tanpa mengira perisa,” katanya.
Katanya, berdasarkan pengalaman berniaga air balang lebih 20 tahun mendapati permintaan terhadap minuman itu meningkat berlipat kali ganda ketika Ramadan. – UTUSAN










