PONTIAN: Ketibaan Ramadan kali ini amat dirasakan seorang ibu tunggal yang kini menggalas tanggungjawab sebagai ‘bapa’ dan ibu selepas pemergian suami tersayang pada Januari lalu.
Norsaidatulakma Bohari, 39, kini menjaga sembilan anak, masing-masing empat perempuan dan lelaki dengan yang sulung berusia 20 tahun dan paling kecil setahun empat bulan.
Suaminya, Noor Huda Salleh, 50, meninggal dunia pada 13 Januari lalu disebabkan jatuh dari pokok selain komplikasi penyakit lain yang dihidapinya.
“Kedatangan Ramadan tahun ini cukup terasa, jika sebelum ini arwah banyak menguruskan anak-anak dan membeli keperluan bagi juadah berbuka puasa serta bersahur. Saya pula berniaga kuih-muih di hadapan rumah bagi menambah pendapatan dan mencari perbelanjaan membeli baju raya dan lain-lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Markom, Benut, di sini.
Walaupun bersendirian membesarkan anak-anak, Norsaidatulakma bertekad menyediakan keperluan mengikut kemampuan dan tidak lagi menjalankan perniagaan menjual kuih pada Ramadan kali ini.
Dia kini bergantung dengan pendapatan kedai runcit yang diusahakan oleh arwah suaminya sejak dua tahun lalu yang sebelum ini merupakan kedai milik emak saudaranya.
“Dengan anak-anak yang masih bersekolah, tumpuan kini diberikan kepada mereka yang bersekolah pada sesi pagi dan petang selain persiapan untuk berbuka puasa serta bersahur.
“Alhamdulillah dengan kedai runcit ini, dapatlah kami sekeluarga meneruskan kelangsungan hidup bagi menampung perbelanjaan seharian walaupun sekadar lepas ‘modal’ sahaja. Setelah ditolak perbelanjaan membeli barangan keperluan, dapatlah sedikit untung kira-kira RM1,500 sebulan kerana perniagaan runcit ketika ini mendapat banyak persaingan termasuk daripada pasar raya,” katanya. – UTUSAN











