SEJAK tiga minggu kebelakangan ini, suhu hangat menyelimuti perbincangan perihal keputusan Mahkamah Persekutuan bagi kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasya Tengku Abdul Rahman lwn. Kerajaan Negeri Kelantan. Tidak dinafikan keputusan kes ini menjadi polemik kerana tidak pernah dalam sejarah negara menyaksikan 17 peruntukan yang dikanunkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dibatalkan Mahkamah Persekutuan. Apatah lagi apabila undang-undang negeri tersebut telah mendapat persetujuan Diraja pada 14 Julai 2020 dan diwartakan pada 31 Disember 2020.
Ketika memutuskan kes tersebut, mahkamah mengesahkan kuasa DUN menggubal dua seksyen iaitu seksyen 13 berkenaan kesalahan menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya, serta seksyen 30 berhubung kata-kata yang memecah keamanan. Namun, 17 peruntukan lainnya diputuskan sebagai tidak sah dan terbatal kerana DUN telah ultra vires (melampaui bidang kuasanya) menggubal kesalahan jenayah.
Sebenarnya cabaran terhadap kuasa DUN menggubal undang-undang bukan hanya bermula dengan petisyen yang difailkan oleh Nik Elin. Namun ia pernah dicabar pada pada 2009 menerusi kes Sulaiman Takrib lwn. Kerajaan Negeri Terengganu dan pada 2021 menerusi kes Iki Putra Mubarak lwn. Kerajaan Negeri Selangor & Anor.
Kedua-dua kes tersebut berfokus kepada perkataan ‘perintah agama itu’ dan ‘had limitasi’ (preclusion clause) di Butiran 1, Jadual 9, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu (precepts of that religion), kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan (preclusion clause).”
Menariknya, walaupun kes tersebut merujuk kepada klausa yang sama, namun pentafsirannya berbeza diaplikasi oleh para hakim. Menerusi kes Sulaiman Takrib, Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Abdul Hamid Mohamad memutuskan bahawa DUN boleh menggubal undang-undang jenayah syariah selagimana tiada kesalahan yang sama di peringkat Persekutuan serta hanya melibatkan kesalahan orang-orang Islam terhadap perintah agama.
Pendekatan ini diaplikasikan semenjak merdeka sehinggalah 2021.
Ironinya, dalam kes Iki Putra, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan kes berasaskan konsep intipati. Dengan kata lain, sekiranya pokok persoalan yang dibangkitkan tersebut berada dalam bidang kuasa mahkamah sivil, maka DUN tiada kuasa menggubalnya. Ini bermakna, oleh kerana kesalahan cubaan liwat yang dipertuduhkan terhadap pempetisyen berada dalam bidang kuasa Persekutuan, maka seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 adalah tidak berperlembagaan dan terbatal. Rentetan itu, pendekatan kes Iki Putra ini jugalah digunapakai bagi memutuskan kes Nik Elin.
Sesungguhnya kita menghormati penghakiman Mahkamah Persekutuan bagi kes Nik Elin berkenaan. Namun, kita tidak dapat menafikan reaksi pelbagai yang diberikan oleh masyarakat. Bagi pihak yang meraikan keputusan tersebut berpendapat mahkamah telah menghapuskan konflik bidang kuasa yang wujud selama ini. Apatah lagi apabila pesalah jenayah akan dikenakan hukuman yang lebih berat sekiranya disabitkan di mahkamah sivil.
Bagi setengah pihak pula, kegusaran mereka tertumpu kepada nasib 17 peruntukan yang dibatalkan tersebut. Apakah peruntukan sama yang terdapat di negeri-negeri lain, namun telah dibatalkan di Kelantan masih boleh dilaksanakan? Apakah keputusan tersebut akan mendedahkan baki peruntukan lain yang digubal oleh DUN untuk turut dicabar?
Begitu juga dengan persoalan adakah Persekutuan boleh menggubal undang-undang apabila wujud perbezaan berdasarkan agama? Malah sekiranya ia digubal di peringkat Persekutuan dan dikhususkan kepada umat Islam sahaja sekalipun, adakah ia juga boleh dicabar sebagai tidak berpelembagaan kerana berlaku pelanggaran terhadap hak sama rata rakyat Malaysia sepertimana termaktub menerusi Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan?

TUNTAS
Walaupun persoalan yang dibangkitkan tersebut hanyalah hipotesis, namun ia bukanlah tidak berasas.
Pelbagai saranan dikemukakan oleh pakar perundangan dan ahli akademik yang turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar antaranya dengan mengemukakan pindaan terhadap preclusion clause di Butiran 1, Jadual Sembilan, Senarai Negeri, Senarai Persekutuan, meningkatkan hukuman jenayah menerusi pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), penyelarasan undang-undang syariah di seluruh Malaysia, menambah peruntukan kesalahan jenayah syariah di negeri-negeri, meningkatkan kompetensi pegawai syariah dan penguatkuasa agama.
Justeru, saranan tersebut perlu disambut tuntas oleh penggubal undang-undang, pihak berwajib, politikus dan pemain industri demi meletakkan kedudukan yang sewajarnya kepada perundangan syariah.-UTUSAN
DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










