KLANG: Sebanyak 73 pek kurma dipercayai dari Israel dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu pemeriksaan ke atas sebuah gudang di sini, pada pukul 11.30 pagi semalam.
Produk itu dirampas selepas sebuah video tular dalam media sosial baru-baru ini yang mendakwa kurma berkenaan dipercayai dieksport oleh Israel dan dibawa masuk ke negara ini melalui Eropah sejak 2022.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, kurma tersebut dikesan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) rentetan daripada penularan video tersebut dekat sebuah premis yang menjual bahan makanan disyaki dari negara haram itu.
“Daripada video itu, anggota buat pemeriksaan ke atas gudang tersebut dan menemukan 73 pek buah kurma dengan label ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ yang disyaki dari Israel.
“Nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM678 membabitkan berat rampasan dianggarkan 14.6 kg. Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 40-an dipercayai pemilik syarikat berkenaan ,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Jelasnya, syarikat terbabit dipercayai membungkus semula kurma berkenaan di negara ini sebelum dijual dekat kedai miliknya.
“Kita tidak menolak kemungkinan akan membuat pemeriksaan ke atas kedai sekiranya mendapat maklumat daripada orang awam yang memaklumkan premis tersebut menjual kurma jenama itu.
“Kes, disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki barang larangan.
“Mana-mana syarikat yang ingin membawa barang barang atau produk daripada negara Israel perlu mendapat permit khas daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” jelasnya. – UTUSAN










