TAPAH: Meskipun kos untuk menaja majlis berbuka puasa tahun ini di masjid-masjid di negeri ini meningkat, namun ia tetap mendapat sambutan bagi mengadakan program tersebut.
Tinjauan di Masjid Al Hidayah, Batu Tiga Temoh dekat di sini dimaklumkan, majlis berbuka di masjid itu tetap mendapat sambutan walaupun bayarannya dinaikkan sebanyak RM400 menjadi RM1,200 berbanding RM800 sebelum ini.
Pengerusi masjid, Abdul Aziz Abd. Rahman, 60, berkata, tajaan berbuka puasa sudah penuh dalam senarai bermula 1 hingga 29 Ramadan ini.
“Tajaan berbuka puasa ini kami sediakan bersama dengan moreh (jamuan ringan selepas solat tarawih) dan pemberian aneka jenis bubur secara percuma kepada golongan asnaf, pelajar tahfiz dan musafir yang bermula selepas solat asar.
“Majlis berbuka puasa ini terbuka kepada semua untuk mendapatkan keberkatan pada bulan mulia ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Katanya lagi, sama seperti tahun lepas, tajaan telah penuh sebelum bermula Ramadan lagi.
“Jumlah peruntukan kali ini ialah RM34,800 dan kebanyakkan penyumbang ialah musafir dari seluruh negara yang pernah singgah di masjid ini.
“Kita kira mengikut hari yang bermakna ada individu dan syarikat masuk ‘slot’ untuk majlis berbuka puasa pilihan mereka,” katanya.
Ujarnya, masjid itu boleh menyediakan juadah berbuka puasa sehingga 300 orang.
Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Air Kuning, Kampar dekat sini, Nizamuddin Mokhtar, 62, berkata, walaupun terdapat peningkatan sebanyak RM200 iaitu RM700 berbanding RM500 sebelum ini, tajaan berbuka puasa tetap penuh.
“Kami bermula pada hari ini (semalam) sehingga 27 Ramadan dan slot telah penuh beberapa bulan sebelum Ramadan lagi,” katanya. – UTUSAN










