KUALA LUMPUR : Mengejutkan banyak pihak menerusi beberapa keping gambar dirinya memakai busana pengantin, penyanyi dan pelakon terkenal, Elizabeth Tan, 28, mengaku itu adalah gambar majlis perkahwinannya dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Siew Jim.
Dia memohon maaf kerana berita ini menjadi tular di media sosial sebelum sempat mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Lizzy minta maaf sangat. Sebenarnya saya memang rancang nak umumkan hal ini kepada semua apabila sudah benar-benar bersedia.
“Saya ambil keputusan untuk tidak menghebohkan isu perkahwinan ini kerana pada saya, ini adalah isu kecil sahaja,”katanya.
Elizabeth berkata demikian kepada Utusan Malaysia melalui pembantu peribadinya, Athirah Zainudin bagi mengulas berkenaan gambar-gambar perkahwinannya yang bertebaran di internet semalam.
Perkara itu turut dikongsikan oleh bapa Elizabeth, iaitu David Tan Suan Chew menerusi laman Facebooknya dengan kapsyen berbunyi ‘Anak perempuan terakhir saya’.
Menurut Elizabeth lagi, majlis yang diadakan semalam adalah sangat kecil sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan.
“Cuma 10 orang tetamu sahaja yang hadir, itu pun ahli keluarga dan kenalan rapat sahaja.
“Bagaimanapun, minta maaf sekali lagi kerana perkahwinan ini adalah satu perkara yang sangat peribadi untuk saya. Maaf juga kerana tidak dapat menjemput ahli keluarga yang lain, serta rakan-rakan media,’’ katanya. – UTUSAN










