Pengeluaran Perindustrian pulih kepada 4.3 peratus pada Januari

Pengeluaran Perindustrian kembali pulih kepada 4.3 peratus pada Januari

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian kembali pulih kepada 4.3 peratus tahun ke tahun pada Januari 2024 didorong oleh pengembangan dalam semua sektor, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, IPP pulih kepada 4.3 peratus pada Januari 2024 selepas merekodkan sedikit penurunan 0.03 peratus pada Disember 2023, iaitu pertumbuhan tertinggi dicatatkan sejak Mei 2023. 

Katanya, peningkatan ini diterajui oleh lonjakan 3.7 peratus dalam sektor pembuatan berbanding negatif 1.4 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya. 

“Sektor perlombongan mengekalkan aliran menaik dengan mencatatkan 5.0 peratus berbanding Disember 2023 pada 4.1 peratus, manakala sektor elektrik berkembang pada kadar yang lebih pantas sebanyak 8.3 peratus berbanding Disember 2023 sebanyak 4.1 peratus. 

“Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP meningkat 2.0 peratus berbanding penurunan 1.3 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya. 

“Pemulihan 3.7 peratus dalam sektor pembuatan pada Januari 2024 dipacu oleh prestasi kukuh industri berorientasikan domestik yang meningkat kepada 8.0 peratus sementara industri berorientasikan eksport kembali kepada pertumbuhan positif 1.6 peratus selepas berada dalam jajaran negatif selama tujuh bulan berturut-turut,” katanya.

Mohd. Uzir berkata, pengembangan industri berorientasikan domestik didorong terutamanya oleh pertumbuhan dua digit dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler yang mencatatkan peningkatan 12.1 peratus, 

“Ia diikuti oleh pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan pada 11.9 peratus, manakala pembuatan produk prosesan makanan turut menyumbang dengan kadar pertumbuhan 8.5 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya.

“Industri berorientasikan domestik kembali meningkat kepada 4.9 peratus berbanding penurunan 1.1 peratus pada Disember 2023,” ujarnya.

Jelasnya, prestasi pengeluaran yang memberangsangkan dalam industri berorientasikan eksport disokong terutamanya oleh peningkatan dalam pembuatan produk getah (8.5 peratus), pembuatan produk plastik (7.5 peratus) dan pembuatan kimia serta produk kimia (6.1 peratus). 

“Pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal juga kembali kepada pertumbuhan positif pada 0.4 peratus, berbanding dengan penurunan 7.2 peratus pada bulan sebelumnya. 

“Pemulihan tersebut selari dengan trajektori menaik yang dilihat dalam industri semikonduktor global pada bulan berkenaan seperti yang dilaporkan oleh The Semiconductor Industry Association (SIA),” jelasnya.

Beliau berkata, pengembangan tahun ke tahun ini selari dengan prestasi eksport negara yang memulih kepada 8.7 peratus pada Januari 2024, selepas merosot sejak Mac 2023. 

“Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport meningkat marginal 0.2 peratus,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×