SAUDARA PENGARANG,
MUNGKIN segelintir ibu bapa merasakan pemeriksaan mata untuk anak istimewa tidak dapat dilakukan kerana menghadapi kesukaran untuk memahami arahan klinikal. Namun tanggapan ini salah sama sekali kerana kajian yang dijalankan pada 2010 terhadap golongan kanak-kanak istimewa di Scotland membuktikan 95 peratus daripada 240 orang subjek dapat memberikan kerjasama dalam penilaian lengkap dan hampir lengkap fungsi visual.
Pegawai Optometri dan Pakar Oftalmologi merupakan satu profesion yang terlatih untuk menjalankan pemeriksaan penglihatan kepada kanak-kanak OKU. Pemeriksaan penglihatan dijalankan menggunakan kaedah yang bersesuaian dengan individu kanak-kanak OKU itu sendiri.
Pemeriksaan akan dijalankan secara objektif untuk memeriksa tahap penglihatan dan ralat refraksi kanak-kanak OKU. Pemeriksaan secara subjektif juga akan dijalankan jika mereka dapat berinteraksi dengan baik.
Pemeriksaan mata seawal mungkin adalah sangat penting kerana mereka lebih cenderung untuk mempunyai masalah penglihatan dan sekiranya kegagalan deria penglihatan ini diabaikan, ia akan menyekat perkembangan semua deria yang lain.
Perkara ini disokong oleh hasil kajian yang dijalankan di Oman terhadap 70 orang kanak-kanak istimewa dan 175 orang kanak-kanak normal. Kajian mendapati 50.8 peratus daripada golongan istimewa ini mempunyai masalah ralat refraksi atau rabun berbanding hanya 2.9 peratus sahaja daripada kumpulan normal. Masalah ralat refraksi yang terlibat adalah 27.1 peratus mempunyai masalah astigmatism atau rabun silau, 24.3 peratus mempunyai masalah myopia atau rabun jauh manakala 18.6 peratus pula mempunyai masalah hyperopia atau rabun dekat.
Golongan ini juga mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menghadapi masalah penglihatan yang lain seperti juling, blepharitis, masalah saluran nasolakrimal, kongenital katarak dan keratoconus yang lebih cenderung untuk dihadapi oleh kanak-kanak Sindrom Down.
Kajian di Turki mendapati bahawa 97.4 peratus kanak-kanak Sindrom Down mempunyai masalah penglihatan seperti nystagmus, juling, rabun dekat, astigmatism dan juga katarak kongenital berbanding peratusan kanak-kanak normal yang mempunyai masalah penglihatan hanya 42.4 peratus.
Kajian lain terhadap kanak-kanak autisme turut mendapati sejumlah 26.9 peratus menghadapi masalah penglihatan di mana 22 peratus daripada mereka menghadapi masalah ralat refraksi atau rabun manakala 8.6 peratus pula menghadapi masalah juling.
Di India pula, 88.3 peratus kanak-kanak Global Developmental Delay (GDD) mempunyai masalah penglihatan yang menunjukkan rabun adalah peratusan terbanyak iaitu 74.7 peratus diikuti masalah juling dan katarak. Punca masalah ini berlaku dikaitkan dengan beberapa faktor risiko seperti kekurangan berat semasa lahir, tidak cukup umur semasa kelahiran dan juga serangan sawan.
Di Malaysia, masih lagi terdapat kekangan hasil kajian mengenai tahap penglihatan kanak-kanak OKU. Kita dapat melihat bahawa banyak hasil kajian yang dijalankan terhadap kanak-kanak istimewa mendapati terdapat banyak masalah mata terutamanya masalah ralat refraksi atau rabun yang lebih tinggi berbanding rakan sebaya mereka yang normal.
Jika dikenalpasti dan dirawat dengan lebih awal, penglihatan yang optimum dapat memberikan kualiti hidup yang lebih baik untuk kanak-kanak istimewa ini. Terdapat Klinik Pakar Oftalmologi menawarkan perkhidmatan pemeriksaan penglihatan, ralat refraksi dan rawatan bagi golongan kanak-kanak istimewa. – UTUSAN
MOHAMMAD NOR FITRI HASAN
Pegawai Optometri Jabatan
Oftalmologi Hospital Sultan Abdul
Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia










