Malaysia dipelawa anjur Sukan Komanwel 2026 ganti Victoria

Malaysia dipelawa anjur Sukan Komanwel 2026 ganti Victoria

Gambar fail menunjukkan kontinjen atlet negara melepasi pentas utama ketika menyertai perbarisan perasmian Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan Malaysia untuk menggantikan Victoria, Australia selaku tuan rumah penganjuran Sukan Komanwel 2026.

Presiden Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, CGF membuat pelawaan rasmi kepada Majlis Olim­pik Malaysia (MOM) dan CGA Malaysia bulan lalu, malah MOM telah memulakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar mempertimbangkan tawaran tersebut.

Norza berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pelawaan tersebut memandang­kan tawaran itu adalah peluang terbaik untuk meletakkan Malaysia kembali di peta dunia sukan selepas menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998.

“CGA Malaysia dan CGF sudah pun mengadakan perbincangan berhubung peluang Malaysia menjadi tuan rumah Komanwel 2026. Kali terakhir Malaysia menganjurkannya pada 1998 dan CGA Malaysia berpandangan kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan peluang sekali dalam seumur hidup ini.

“Dengan fasiliti bertaraf du­nia, Malaysia bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi temasya antarabangsa Komanwel yang melibatkan 74 negara. Penganjuran akan membabitkan perbelanjaan kerajaan yang minimum dan membawa faedah sosio-ekonomi ketara kepada negara.

“Taraf sukan Malaysia turut meningkat seperti apa yang berlaku selepas temasya 1998 dan untuk tujuan itu, CGF bersama CGA Malaysia sudah menawarkan cadangan yang menarik kepada kerajaan Malaysia,” kata Norza dalam satu kenyataan.

Pelawaan CGF itu turut hadir bersama suntikan dana seba­nyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi menganjurkannya.

Victoria yang sebelum ini bersedia menganjurkan temasya itu te­lah menarik diri dengan alasan pe­ningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (anggaran RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (anggaran RM21.78 bilion.

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.18 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×