Hanya dua murid Tahun 1 daftar di SK Tebing Rebak - Utusan Malaysia

Hanya dua murid Tahun 1 daftar di SK Tebing Rebak

SK Tebing Rebak yang hanya mempunyai lapan murid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak, Sungai Sumun di sini hanya menerima dua murid Tahun 1 yang mendaftar untuk sesi persekolahan tahun ini.

Dua murid Tahun Satu itu yang mendaftar itu menjadikan jumlah keseluruhan murid di sekolah itu seramai lapan orang.

Lain-lain ialah seorang murid Tahun 2, dua murid Tahun 3 dan masing-masing seorang murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6.

Dua murid Tahun 1 berkenaan ialah Ashman Hazeeq Mohamed Redzwan dan Mohamad Haziq Haikal Mohamad Hilmi, masing-masing berusia 7 tahun dari Kampung Tebing Rebak.

Guru Besar SK Tebing Rebak, Zaiton Hashim berkata, bila­ngan murid yang sedikit di sekolah itu bukan luar biasa.

Menurutnya, ini kerana tahun lalu sekolah itu hanya mempunyai seorang sahaja murid yang mendaftar di Tahun Satu.

“Setiap tahun inilah situasi­nya tiada pertambahan yang ketara dari segi bilangan murid.
“Tahun lepas, jumlah keseluruhan murid juga lapan murid, tahun ini bilangannya kekal.
“Ini kerana dua murid Tahun Enam yang tamat persekolahan kini diganti dengan dua murid Tahun 1 yang memulakan persekolahan hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di sini.

SOKONGAN

Katanya, sekolah itu mempunyai enam guru dan lima kakitangan sokongan.

Jelas beliau, walaupun dika­tegorikan luar bandar, murid SK Tebing Rebak dilengkapi kemudahan pembelajaran termasuk komputer riba setiap seorang.

Menurutnya, sesi pembelajaran dijalankan seperti biasa dan mengikut jadual persekolahan yang ditetapkan oleh kementerian.

“Sebagai guru, menjadi tanggungjawab kami memastikan murid dapat belajar seperti sekolah lain walaupun jumlah muridnya cuma lapan orang,” katanya.

Mengenai sejarah sekolah itu, Zainon berkata, ia dibina sekitar 1954 dan terletak lebih 20 kilometer dari pekan Bagan Datuk.

Menurutnya, kekurangan murid di sekolah itu disebabkan kebanyakkan generasi muda berhij­rah ke bandar kerana bekerja.

Beliau berkata, bilangan murid yang sedikit menyebabkan hubungan antara guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti kampung akrab.

“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini dianggotai empat penjaga sahaja, semuanya kalangan ibu bapa kepada lapan pelajar ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×