KUALA LUMPUR: Parti Warisan (Warisan) tidak kisah bekerjasama dengan UMNO Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, asalkan kerjasama itu menjurus ke arah kesejahteraan rakyat negeri berkenaan.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau juga berasal daripada UMNO malah berkhidmat selama 29 tahun dan sudah membantu rakyat Sabah seluruh kudratnya sepanjang tempoh itu.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kedua-dua parti politik masih dalam proses rundingan sebelum memuktamadkan kerjasama bagi menumbangkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Warisan masih dalam rundingan dengan UMNO untuk bekerjasama. Kami fleksibel. Mana-mana pihak pun kami akan tinjau, yang penting ialah kebertanggungjawaban pihak memerintah supaya dalam fikiran mereka ialah Sabah.
“Jangan fikir hanya Kuala Lumpur (Semenanjung Malaysia) sahaja kerana ini menjadi keutamaan kami. Kerjasama ini untuk memastikan setiap pentadbiran masa akan datang menjurus ke arah memastikan Sabah adalah keutamaan.
“Saya sudah bantu semua, saya menjadi Naib Presiden UMNO selama dua penggal, 29 tahun dalam UMNO. Jadi, saya tidak kisah bekerjasama dengan mereka (UMNO),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini, hari ini.
Pada 17 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Warisan sedia menerima sebarang bentuk formula UMNO Sabah khususnya dalam hal pemilihan Ketua Menteri jika kerjasama kedua-dua parti berjaya direalisasi dalam mendepani pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Persoalan tentang siapa bakal calon ketua menteri gabungan itu tercetus selepas Warisan dan UMNO Sabah sebelum ini memberi gambaran akan bekerjasama dalam PRN nanti.
Tempoh pemerintahan GRS sepatutnya berakhir pada Oktober 2025, namun, penganalisis politik tidak menolak PRN akan diawalkan.
GRS ketika ini menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas kemelut politik dengan Barisan Nasional (BN)/UMNO sebelum ini.
Ketika ini, blok kerajaan negeri dianggotai GRS-PH dan Pas mempunyai 50 daripada 79 kerusi termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, manakala pembangkang terdiri daripada BN/UMNO dan Warisan mempunyai 29 kerusi termasuk ADUN dilantik.
Pada 13 November tahun lalu, Hajiji membayangkan, kemungkinan PRN Sabah diadakan seawal tahun depan walaupun tempoh kerajaan negeri sekarang masih berbaki kira-kira dua tahun lagi.
Pada 18 November tahun lalu, media melaporkan, Bung Moktar tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan Warisan yang turut melibatkan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) bagi menghadapi PRN Sabah.
Pada 14 Disember tahun lalu, Mohd. Shafie dilaporkan berkata, tidak mustahil Warisan bekerjasama dengan UMNO Sabah untuk kepentingan rakyat negeri ini.-UTUSAN










