PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan ITAKA Poland untuk melonjakkan industri pelancongan di pulau berkenaan.
Kerjasama itu ditandatagani di Konvensyen ITB Berlin yang berlangsung dari 5 hingga 7 Mac lalu.
Kerjasama strategik itu disempurnakan dengan pelancaran SkyWalk, satu lagi tarikan baharu di Langkawi
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, pemeteraian kerjasama itu menjadi tanda komitmen bersama LADA dan ITAKA untuk melancar dan mempromosikan penerbangan sewa khas dari Poland ke Langkawi.
Katanya, menerusi kerjasama dengan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dan dengan memanfaatkan Program Penerbangan X-Celeration (AXP), LADA berhasrat untuk menawarkan Insentif Penerbangan Sewa Khas, sebagai platform lonjakan pelancongan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Pada dasarnya, usaha kolaboratif kami menjadi tanda komitmen bersama untuk membentuk masa depan yang cerah bagi pelancongan antara Poland dengan Langkawi.
“Program Insentif Penerbangan Sewa Khas Langkawi bukan perjanjian semata-mata, sebaliknya menjadi rangka tindakan untuk mencipta pengalaman perjalanan yang tidak dapat dilupakan, sekali gus memacu kesejahteraan ekonomi yang mampan bagi kedua-dua rantau,” katanya dalam kenyataan.
MOU ini menekankan visi bersama antara LADA dengan ITAKA untuk memupuk pelancongan antara Poland dengan Langkawi.
Program Insentif Penerbangan Sewa Khas Langkawi menjadi acara penting dalam kerjasama ini, sebagai bukti komitmen untuk mengangkat status Langkawi sebagai destinasi antarabangsa pilihan.
“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menarik pelancong, malah untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dalam sektor pelancongan,” jelasnya.
LADA ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan untuk merancang, mempromosi dan melaksanakan pembangunan di Pulau Langkawi.
LADA ditubuhkan secara rasmi pada 15 Mac 1990, di bawah Akta Lembaga Pembangunan Langkawi 1990 (Akta 423) dan diletakkan di bawah tadbir urus Kementerian Kewangan.
Semenatra itu, ditubuhkan pada tahun 1989, ITAKA telah menjadi peneraju unggul dalam industri pelancongan sejak 2009, yang mengukuhkan kedudukannya menerusi kejayaan demi kejayaan.
ITAKA mempelopori pelbagai aktiviti dalam membangunkan pelancongan luar negara, memperkenalkan program lawatan asal dan mewujudkan destinasi percutian baharu yang dijayakan oleh penerbangan sewa khas. Tawaran percutian yang ditawarkan menjangkaui hampir 100 destinasi di seluruh dunia. – UTUSAN










