Pura-pura hendak pergi memancing elak ditahan AADK - Utusan Malaysia

Pura-pura hendak pergi memancing elak ditahan AADK

AZLI Ubin (kanan) menerangkan kepada Ling Tian Soon tentang rampasan yang dilakukan pihak AADK dalam Op Hotspot di Bukit Dahlia, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berpura-pura hendak pergi memancing di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Bukit Dahlia, Pasir Gudang, dekat sini bagi elak ditahan penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor, hari ini.

Walau bagaimanapun, helah lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu yang tidak membawa sebarang kelengkapan memancing ditahan itu dalam Op Hotspot yang dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, lelaki itu antara 22 individu yang ditahan dalam dua operasi berasingan hari ini.

Seorang lagi lelaki terjatuh dari motosikal apabila cuba melarikan diri daripada ditahan penguat kuasa AADK ketika menuju ke ‘port’ dadah di kawasan kelapa sawit tersebut.

“Hari ini kita menjalankan dua operasi secara serentak, iaitu Op Hotspot di kawasan kelapa sawit yang menyaksikan seramai 14 individu ditahan termasuk seorang lelaki warga Indonesia, manakala lapan lagi ditahan menerusi Op Cegah (rumah ke rumah). Kerajaan negeri memandang serius isu penyalahgunaan dadah ini dan tidak akan berkompromi dengan individu terlibat. Kita akan terus menjalankan penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

“Kita meletakkan sasaran kepada AADK untuk menghijaukan 17 mukim yang dikenal pasti sebagai Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) supaya bebas daripada aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya selepas menyertai Op Hotspot di Bukit Dahlia, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah AADK Johor, Azli Ubin.

Tian Soon berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK untuk menjalani pemeriksaan urin, seterusnya memohon permohonan reman sebelum proses pendakwaan di mahkamah.

Katanya, daripada 17 KBT, ada sebahagian daripadanya telah dihijaukan, antara di Mersing, Plentong, bandar Muar, Kulai, Simpang Kiri, Batu Pahat; Pogoh dan Jabi di Segamat.

“KBT ini merupakan kawasan merekodkan aktiviti dadah yang aktif sama ada kes baharu atau yang berulang. Jadi, kita letak sasaran untuk hijaukan kawasan ini pada tahun ini. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.13 juta kepada AADK bagi mengadakan tindakan penguatkuasaan, pendidikan pencegahan secara aktif bersama rakan strategik, program kesedaran dan sebagainya,” katanya.

Sejak awal tahun hingga Rabu lalu, seramai 377 individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di seluruh negeri ini dengan majoriti individu yang ditahan  adalah lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 45 tahun, manakala sepanjang tahun lalu seramai 1,424 penagih ditahan dalam siri serbuan yang dilakukan di lokasi yang dikenal pasti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×