PETALING JAYA: Majikan perlu menetapkan kadar gaji minimum sekurang-kurangnya RM3,000 bagi peringkat permulaan mengikut kepada bidang yang sepadan dan kelayakan graduan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, majikan perlu bijak dalam mengurus dan menangani isu ini dengan pelan tindakan yang lebih mampan bagi memajukan syarikat, sekali gus menarik minat golongan graduan untuk bekerja.
“Sudah tentu perkara (gaji minimum) ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada mana-mana majikan, terutamanya dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
“Namun, majikan perlu bijak dalam menguruskan dan menangani isu berkenaan bagi menarik minat golongan graduan untuk bekerja, dan sudah tentu berdasarkan kelayakan serta kemahiran mereka.
“MPPK menyokong sepenuhnya penetapan kadar gaji minimum tersebut supaya selaras dengan kos ekonomi yang semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, penetapan kadar gaji minimum untuk golongan siswazah dilihat sebagai langkah yang boleh menyelesaikan masalah gaji kecil dan pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan.
Pakar akademik berpandangan, kerajaan mesti memulakan langkah itu kerana tiada garis panduan berhubung penetapan gaji minimum siswazah peringkat ijazah sarjana muda, sehingga terdapat pihak mengambil kesempatan membayar gaji siswazah dengan nilai terlalu rendah.
Kerajaan pula ketika ini menetapkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,500 untuk majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja melibatkan beberapa sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mewartakannya pada 27 April 2022.
Dalam pada itu, tambah Wan Amsyar Hadie, kadar gaji sepatutnya perlu diperluaskan di seluruh tempat dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.
“Pihak kerajaan boleh memberikan insentif seperti pengurangan cukai atau memberikan geran yang boleh membantu syarikat diluar untuk melaksanakan pemberian kadar gaji minimum yang setimpal.
“Insentif atau bantuan itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kos dan tekanan yang dialami kebanyakan syarikat dalam mendapatkan pekerja.
“Golongan graduan juga pastinya lebih berminat untuk bekerja jika melihat tawaran gaji minimum yang setimpal kerana zaman kini, banyak komitmen perlu dilunaskan sebaik sahaja bekerja, sekali gus mengelakkan masalah ‘brain drain’ dalam negara,” ujarnya.
Selain itu, isu gaji juga dikaitkan dengan kebimbangan beberapa pihak mengenai golongan muda mungkin tidak lagi berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana beranggapan platform itu tidak mampu memberikan mereka pulangan yang setimpal.
Laporan terdahulu akhbar ini juga menyatakan beberapa ahli akademik percaya, golongan tersebut mungkin berpendapat segala pelaburan untuk meneruskan pengajian khususnya dalam bidang profesional, tidak setara dengan pulangan apabila bekerja.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kerajaan wajar menyemak semula purata gaji permulaan untuk peringkat ijazah dan industri, bagi menetapkan jangkaan gaji yang realistik.










