SAYA bukan peminat durian. Dan sebenarnya tidak pernah makan durian pun. Sejak zaman kecil apabila arwah ayah bawa pulang durian, saya tidak tahan baunya. Loya.
Sehinggalah usia masuk lima siri ini, tidak pernah sentuh raja buah itu. Suka tengok sahaja durian yang dijual dan dinikmati penggemarnya di tepi-tepi jalan menghala Karak.
Namun cerita tentang durian ini turut menggamit perhatian saya. Terutama tentang Musang King. Pernah pada 2018, akhbar berpengaruh di United Kingdom, The Guardian menyiarkan dakwaan
beberapa pihak bahawa penerokaan hutan di Raub, Pahang bagi membuka ladang durian Musang King telah menyebabkan Harimau Malaya yang berjumlah kira-kira 150 ekor kian diancam kepupusan.
Tahun lepas ada dakwaan pembukaan ladang Musang King terbesar di negara ini yang berkeluasan hampir 3,000 hektar dengan 200,000 pokok di kawasan Tanah Tinggi Lojing, Kelantan telah
menghangatkan lagi ‘perang’ antara masyarakat Orang Asli dengan haiwan liar seperti gajah dan harimau.
Baru-baru ini saya berpeluang sembang santai dengan seorang anak muda yang gigih mengusahakan penanaman durian.
Brandon Quah yang menginjak umur 43 tahun ini menanam durian Musang King sejak 10 tahun lalu di tanah seluas kira-kira 202 hektar dengan 15,000 pokok di Bentong dan Sungai Klau, Raub, Pahang.
Ya, mana kerja yang mudah? Apa lagi melibatkan diri menghasilkan durian rebutan ramai semahal Musang King.
Mari kita selami kegigihan penat jerih Brandon yang patut menjadi teladan kepada anakanak muda kita – untuk serius dan sentiasa berusaha keras dalam apa sahaja lapangan atau kerja yang diceburi.
Antara yang dikongsinya
kepada kolum ini:
PAK BELANG TAKUT MERCUN
Masalah harimau merentas kebun durian ada berlaku. Biasanya hanya seekor. Ini tidak boleh elak, kadangkadang satu minggu masuk dua kali. Biasanya waktu malam dan esoknya kita nampak tapak kaki. Ada petanda anjing yang berkawal hilang dan babi hutan tidak kelihatan. Harimau biasanya makan anjing dulu dan tidak makan manusia.
Harimau datang sekejap sahaja dalam dua minggu selepas itu tidak ada. Kerana ia tidak duduk satu tempat sebaliknya merayau-rayau mencari kawasan baharu.Untuk elak kejadian tidak
diingini, pekerja biasanya akan berkumpulan dalam tiga orang. Kena juga bakar mercun ‘kuat’ yang berbunyi macam senjata api mesingan terutama di kawasan sempadan ladang bersebelahan hutan. Harimau akan lari dan kemudian baru mulakan kerja.
DURIAN RAUB LEBIH KERING
Setiap hari ladang saya mengeksport kira-kira 10 tan durian ke Singapura. Gred A yang biasanya dikenal pasti kerana kelima-lima pangsa mempunyai isi dieksport ke China dengan cara jualan dalam talian. Gred AB iaitu kategori nombor dua pula biasanya untuk pasaran Singapura atau Hong Kong.
Terdapat juga kategori lain yang lebih rendah seperti ABC dan CC.
Harga borong peringkat ladang berubah-ubah setiap hari tetapi durian Musang King dari Raub harganya lebih tinggi sedikit kerana rasanya lain dan isinya kualiti lebih bagus. Ia lebih ‘kering’ dan tidak terlampau banyak air sangat.
Lebih sedap kerana iklim di situ dan zon yang berlainan. Kelantan pun durian banyak cantik juga dari Tanah Merah, Gua Musang (Aring) dan Jeli. Cuma di Tanah Tinggi Lojing malam agak sejuk, 19 darjah Celsius.
Saya tahu ada ladang durian Musang King terbesar di Malaysia di Tanah Tinggi Lojing. Kawasan itu luas, mungkin di situ tidak terlalu sejuk. Durian kalau cuaca tidak cukup panas, bunga tidak akan jadi.
DURIAN KLON BANYAK PENYAKIT
Durian Musang King susah untuk ditanam. Bukan siapasiapa yang ada wang boleh tanam. Kita sendiri kena turun padang, tiap-tiap bulan kena beri baja kimia dan organik.
Tidak ada apa-apa rahsia, cuma hari-hari kena masuk kebun tengok sampai anda memang boleh ‘bercakap dengan pokok’.
Ini contoh sahaja, maksudnya anda tengok itu pokok, kalau daun sudah kuning, kita sudah tahu apa masalah. Kita kena pandailah (daripada pengalaman). Jangan harap pakar datang periksa pula, kerana pandangan pihak ketiga pun tak betul juga dan mungkin sudah terlambat.
Pokok-pokok sudah besar pun payah mahu jaga kerana jenis durian klon banyak penyakit, jadi kena beri perhatian. Bukan macam pokok durian kampung, biar sahaja tak apa. Tanam Musang King dalam pasu pun tak jadi, kecuali untuk buat kandungan dalam YouTube bolehlah. Ini durian tak ada wang, tak boleh ‘main’lah kerana upah pekerja dari Indonesia ikat buah supaya tidak jatuh pun sebanyak RM2.50 sebiji. Semuanya saya ada 50 pekerja.
Beza dengan kelapa sawit yang lasak dan senang dijaga. Kerosakan dan kerugian adalah kurang. Kelapa sawit ditanam rapat, kalau angin kuat pun tak tumbang, tapi durian banyak tumbang, usia 10 tahun pun boleh tumbang.
MASUK MALAYSIA MAKAN DURIAN
Durian Musang King ini bagus kerana masaknya adalah sekata dan kualiti lebih terjamin, tidak seperti jenis D24 kerana akan ada ulas yang tidak masak (mengkal).
Setahu saya tempat yang ada hanya di SS2, Petaling Jaya, Selangor. Jadi terdapat perancangan membuka tempat baharu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, Lebuh raya Kuala
Lumpur-Karak, Bentong dengan pelbagai kemudahan termasuk eskalator (tangga bergerak) untuk keselesaan pelancong khususnya warga tua.
Pelancong dari China datang Malaysia antara dua hingga tiga juta orang setahun biasanya hanya pergi dua tempat iaitu Melaka dan Genting Highlands yang berdekatan Genting Sempah. Jadi mungkin boleh tarik mereka untuk makan durian segar. Tidak seperti biasa beli durian yang dibeku dengan nitrogen dan kena tunggu cair antara lima hingga enam jam, baru boleh makan.











