PASIR MAS: Polis Kelantan sudah membawa cadangan untuk mewujudkan zon penampan (buffer zone) di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di negeri ke pengetahuan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, cadangan berkenaan bagaimanapun akan diteliti dan dibawa ke mesyuarat sebelum diputuskan.
Menurutnya, zon penampan di sepanjang Sungai Golok itu adalah antara cadangan yang terbaik setakat ini dalam usaha mengekang aktiviti jenayah di sempadan negara.
“Saya melihat ini (zon penampan) adalah yang terbaik setakat ini walaupun kita tidak dapat mencegah 100 peratus namun ia dapat mengekang aktiviti jenayah di sempadan.
“Zon penampan ini akan dilengkapi dengan pencahayaan baik, kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera yang boleh membantu pihak berkuasa bertindak dengan lebih cepat sekiranya berlaku apa-apa aktiviti yang mencurigakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Burung Candik dan Ayam Serama Piala Ketua Polis Kelantan Tahun 2024 sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke 217 Tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini hari ini.
Terdahulu, sebanyak 560 ekor burung candik serta 412 ekor ayam serama dari dalam dan luar negeri serta Thailand menyertai pertandingan berkenaan.
Muhamad Zaki memberitahu, Polis Kelantan telah melakukan perbincangan bersama kerajaan negeri bagi membanteras aktiviti jenayah penyeludupan di kawasan pengkalan atau jeti.
Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan termasuk orang ramai bagi mengekang aktiviti haram di jeti termasuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat sesuatu aktiviti yang mencurigakan.
“Sempadan Sungai Golok adalah sepanjang 99 kilometer (km), jadi mana-mana kawasan yang mempunyai rumah mesti ada jeti dan jangan menjalankan aktiviti haram di jeti berkenaan.
“Kalau jeti berkenaan dibina di atas tanah kerajaan atau negeri, mungkin kita boleh robohkan tetapi sebaliknya kalau ia melibatkan kawasan persendirian,” ujarnya.
Utusan Online sebelum itu melaporkan, Kerajaan Kelantan terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai cadangan memusnahkan pangkalan haram yang menjadi laluan kepada aktiviti penyeludupan.
Menteri Besarnya Datuk Mohd. Nassuruddin Daud bagaimanapun berkata, beliau akan menunggu pertemuan dan perbincangan itu terlebih dahulu sebelum memberikan apa-apa ulasan mengenai isu tersebut.-UTUSAN










