Detik getir UMNO sejak 1987 - Utusan Malaysia

Detik getir UMNO sejak 1987

PERHIMPUNAN Agung UMNO Ahad ini akan menguji sejauh mana institusi presiden UMNO mampu bertahan. Adakah wala’ kepada presiden yang berdepan kes mahkamahnya akan dipertahankan ahli parti?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2020 berlangsung Ahad 28 Mac ini disifatkan paling getir dan mencabar dalam sejarah parti itu sejak 1987.

Setelah 34 tahun berlalu krisis perebutan jawatan presiden mengakibatkan UMNO diharamkan, seterusnya parti berpecah team A dan team B, pasca politik moden hari ini mendatangkan ujian terbesar kepada UMNO.

PAU kali ini menguji sejauh mana institusi presiden UMNO mampu berdaya tahan. Adakah prinsip wala’ dan tuntutan kesetiaan kepada seorang presiden yang berdepan kes-kes mahkamahnya akan terus dipertahankan ahli parti?

Ketika sudah menjadi rahsia umum mereka yang ada nama dalam parti seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta tiga, empat lagi ‘kelihatan’ sudah berpaling, apakah perhimpunan ini akan menjawab persoalan hala tuju UMNO sebelum menuju medan tempur Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

Saya dimaklumkan sekitar 124 daripada 191 bahagian sudah mempersetujui tidak akan ada kerjasama UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU. Itu sudah dimaklumkan kepada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan diputuskan. Tinggal lagi belum diperakukan dalam PAU Ahad ini.

Mengamati krisis dalaman UMNO ini, saya teringat pesan pendirinya UMNO, Almarhum Datuk Onn Jaafar. Kata Allahyarham: “Kita hendaklah mengesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita. Jangan sampai orang lain mengesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekan”.

PAU kali ini akan turut meraikan ulang tahun UMNO ke-75. Dari sudut perhitungan perjuangan, UMNO sudah mengumpul begitu banyak trofi kejayaan. Memerdekakan Tanah Melayu, mewujudkan Persekutuan Malaysia, mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menjamin kedaulatan Raja-raja Melayu, menjulangkan hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta hak sahih kaum-kaum lain.

UMNO melahirkan Perlembagaan Persekutuan dan sekian banyak hak serta kuasa pemerintahan yang dikecapi pada hari ini. UMNO mencipta Dasar Ekonomi Baru (DEB) ke tahap yang ada sekalipun tahap capaian ekonomi Bumiputera masih tanda tanya – di atas atau di bawah 30% berbanding kumpulan aset ekonomi kaum-kaum. UMNO memberi hak ilmu pelajaran kepada berjuta orang. Inilah yang mencerminkan keupayaan politik bangsa Melayu yang kini boleh dianggap luar biasa.

UMNO bukan sembarangan parti. Jumlah ahli biasanya 3,696,283 dan ahli bergabung UMNO melalui Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), 171,405 dari 1,442 cawangan sementara bilangan cawangan UMNO berjumlah 21,964 cawangan.

Keahlian UMNO pula terdiri daripada 14 suku kaum dan bangsa yang menunjukkan UMNO adalah sebuah parti yang terbuka dan meraikan kepelbagaian kaum dalam rumpun Melayu di negara ini. Selain Melayu (3,159,099 orang), UMNO dianggotai Kadazan-Dusun (150,828 orang), Bajau (134,525 orang), Bisaya, Suluk, Murut, Idahan, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak, Siam, India Muslim, Cina Muslim, orang asli dan Portugis.

Wanita UMNO pula mempunyai tulang belakang 1,443,793 ahli sementara Pergerakan Pemuda ialah 616,011 ahli dan keahlian Pergerakan Puteri berjumlah 374,820 orang.

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

PENENTANG UMNO

Cuma sayang seribu kali sayang, situasi politik hari ini sudah berubah. Penentang UMNO kian lama kian bertambah bilangannya. Termasuklah dari orang Melayu sendiri.

Ada kalangan mereka berkata mereka bukan menentang UMNO. Mereka hanya menentang pimpinan atasan tertentu. Mungkinkah kepada orang UMNO yang berfikir, harus tampil mempersoalkan adakah lantaran marahkan nyamuk maka kelambu dibakar?

Jika dilihat di akar umbi UMNO, keahlian yang dikatakan 3 juta lebih itu kelihatan amat kurang buat kerja parti. Sepatutnya kualiti golongan pemimpin diutamakan. Bukan sekadar bilangan ahli berjuta. Parti-parti pembangkang seperti DAP, PKR dan Amanah yang keahlian mereka cuma ratusan ribu atau ribu-ribu, tetapi barisan pimpinan mereka kental, berwibawa dan berilmu.

Sistem penerangan UMNO tampaknya kurang tenaga. Parti kelihatan tidak lagi diberi suasana gah. Pengertian dan penerimaan perjuangan kini amat nipis.

KERUSI MARGINAL

Untuk berdepan PRU-15, UMNO berdepan cabaran getir sukar bertapak di kerusi-kerusi marginal. Penguasaan kerusi marginal bermaksud sokongan kedua-dua bangsa (Melayu dan Cina) perlu untuk perkuatkan BN jika UMNO memilih jalannya sendiri bertanding solo. Dan sekalipun Pas berpaling semula untuk bersama UMNO, dua parti Melayu ini masih memerlukan dukungan wakil rakyat bukan Islam.

Ketika ini terdapat antara 30 hingga 40 kerusi majoriti Cina atau 13.5 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen. Kebanyakannya di kawasan bandar besar Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah. Daripada 222 kerusi Parlimen, terdapat 155 kerusi luar bandar yang dikuasai Melayu/Bumiputera. Sabah dan Sarawak pula mempunyai 56 kerusi Parlimen iaitu 31 di Sarawak, 25 di Sabah.

Begitupun, tidak semua Melayu menyokong UMNO-Pas. Ini disebabkan ada orang Melayu bersama PKR, parti pelbagai kaum. Melayu/Bumiputera di Sarawak dan Sabah pula ada selera politik tersendiri. Pas sukar diterima di kedua-dua negeri itu, malah UMNO tidak pernah bertapak di Bumi Kenyalang.

Dalam PRU-14 lepas, calon UMNO/BN tidak mungkin kalah kalau orang Melayu berdiri teguh di belakang UMNO. Akhirnya terbukti kalah.

Ambil contoh Johor sahaja. Dulu-dulu Johor ‘negeri selamat’ buat UMNO. Dalam PRU 9 Mei 2018, UMNO Johor hanya memenangi 18 kerusi majoriti DUN Melayu dan bakinya tewas. Johor juga mempunyai sembilan kerusi DUN campuran, dan hanya satu dimenangi pada PRU-14 lalu dengan hanya majoriti 2.3%. Pada masa sama UMNO mempunyai kerusi-kerusi DUN majoriti Cina tetapi kalah kesemuanya. UMNO berdepan cabaran getir dengan peluang menang ‘50-50’ kerana di Johor banyak kerusi marginal. Antaranya kerusi Parlimen Tebrau, Pasir Gudang dan Pulai.

PAU Ahad ini menjadi pemutus hala tuju UMNO masa depan. Adakah terjawab persoalan UMNO akhirnya memilih mengetepikan Pas yang terang-terang mahukan Bersatu bersama mereka? Lantas menjadikan pertembungan mengulangi tiga penjuru. Kesatuan umat Melayu sesuatu yang cukup mahal untuk dicapai. Kesatuan itu hanya dirindui bila berlaku peristiwa penentangan Malayan Union, lama sudah…75 tahun silam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×