Kenikmatan gulai siput sedut di Citarasa Bonda bukan sekadar terletak pada rasanya semata-mata, sebaliknya ada di saat menyedut siput berkenaan.
Bahkan, sesiapa sahaja pasti terliur melihat gulainya yang lemak dan kesegaran serta kemanisan siput berkenaan.
Justeru The Face akan menyajikan hidangan yang dinamakan sebagai siput sedut lemak cili padi berkeju sebagai salah satu tarikan selain memberikan kepuasan kepada pengunjung yang berbuka puasa di sini.
Selain itu, menu wajib dan menjadi kegemaran seperti sup gearbox; kambing bakar; ayam bakar tebu; laksa Kuala Kangsar; ikan cencaru sambal taucu viral serta daging masak hitam pasti menggamit sesiapa yang datang menikmati hidangan berbuka puasa di sini.
Bagi mereka yang masih meneruskan program diet dan menitikkan pemakanan pemakanan seimbang, terdapat sudut yang menyediakan ulam dan sayur.
Beberapa jenis pencuci mulut turut disediakan kuih gulung, kuih cara berlauk dan banyak lagi disediakan di sini.
Pengunjung juga dihidangkan dengan pelbagai jenis minuman seperti air jagung; lemon soda, air laici dan air bandung.
Apa yang paling penting, surau juga disediakan bagi membolehkan pengunjung beribadat dengan tenang dan selesa tanpa perlu meninggalkan restoran berkenaan.
Hidangan berbuka puasa yang dinamakan sebagai Citarasa Bonda ini bermula 15 Mac hingga 7 April ini.
Harga yang dikenakan untuk dewasa ialah RM188 bersih dan kanak-kanak (6 tahun ke 12 tahun dan warga emas berusia 65 tahun ke atas) pula sebanyak RM95 bersih. – UTUSAN










