Gencatan senjata menjelang Ramadan `sukar' - Biden

Gencatan senjata menjelang Ramadan `sukar’ – Biden

PENDUDUK Palestin melihat runtuhan bangunan yang musnah akibat pengeboman Israel di tengah Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROSE VALLEY: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran proses untuk mendapatkan gencatan senjata antara Israel dan Hamas menjelang bulan suci Ramadan, adalah sukar.  

Biden berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perjanjian untuk menghentikan konflik berlangsung selama hampir lima bulan di Gaza boleh dicapai menjelang Ramadan.  

“Ia kelihatan sukar,” kata Presiden AS itu kepada pemberita dalam satu majlis di Rose Valley. 

Dalam pada itu, Biden sekali lagi menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku keganasan di timur Baitulmaqdis, wilayah diduduki Israel.

Sebelum ini, Biden pernah membuat amaran sama pada awal minggu ini.

Terdahulu, sayap Hamas menggesa penyokong untuk bergerak menuju ke arah perkarangan masjid Al-Aqsa di timur Baitulmuqqadis, tempat berlakunya keganasan ketika Ramadan pada tahun-tahun lalu.

Ia juga berkata, tidak akan ada kompromi terhadap tuntutan pergerakan itu supaya Israel berundur dari Gaza untuk mendapatkan pembebasan tebusan yang ditawan Hamas sejak serangan bermula 7 Oktober tahun lalu.

* BIDEN DESAK NETANYAHU  

Sementara itu, Biden menegaskan Benjamin Netanyahu harus membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza.

Kenyataan itu dibuat selepas beliau ‘tertangkap’ menyebut akan berdepan dengan perdana menteri Israel berhubung konflik itu.

Biden didengari berkata selepas ucapan State of the Union pada Khamis lalu bahawa beliau sudah memberitahu Netanyahu yang mereka akan mengadakan mesyuarat penting yang mencerminkan kekesalan terhadap tindakan Israel.

“Ya, beliau perlu lakukan,” kata Biden apabila ditanya mengenai kenyataan itu dan sekiranya Netanyahu perlu melakukan lebih banyak lagi untuk memberi bantuan ke Palestin, di tengah-tengah amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebuluran.

Ketika ditanya mengenai keperluan mesyuarat itu, Biden memaklumkan tidak menyatakan demikian dalam ucapan State of the Union. 

“Kamu yang telah mencuri dengar mengenai perkara itu,” katanya.

Presiden AS itu ketika ini berdepan ketegangan tekanan politik yang teruk di negara sendiri berikutan sokongan teguhnya terhadap perang Israel ke atas Hamas.

Bagaimanapun, beliau mengubah pendiriannya mengenai keperluan untuk mengurangkan korban orang awam dan menangani krisis kemanusiaan di Gaza. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×