BANGKOK: Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thailand (CCSA) meluluskan pengurangan tempoh kuarantin dari 14 hari ke 10 hari untuk golongan pelancong bermula 1 April ini.
Jurucakap CCSA, Dr. Taweesin Visanuyothin juga mendedahkan mengenai pelan melonggarkan sekatan Covid-19 dari Jun dan rancangan bebas kuarantin bermula Oktober ini.
Katanya, dalam tempoh beberapa bulan akan datang, pelancong yang dikuarantin di hotel akan dibenarkan melakukan pelbagai aktiviti di luar bilik mereka dengan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Awam Thailand.
“Dalam fasa pertama kelonggaran kuarantin dari 1 April hingga 30 Jun, pelancong dibenarkan menggunakan gim hotel termasuk senaman di luar, kolam renang dan berbasikal di kawasan kawalan.
“Mereka juga dibenarkan membeli makanan serta barangan di luar pusat kuarantin,” katanya kepada Nation Thailand.
Jelas Taweesin, bermula 1 Julai hingga 30 September, pelancong yang dikuarantin dibenarkan makan di restoran hotel, masuk ke spa dan berurut.
Beliau berkata, bermula 1 Oktober ini, hanya pelancong dari negara berisiko yang perlu menjalani kuarantin, namun langkah itu akan dipantau dari semasa ke semasa mengikut perkembangan jangkitan koronavirus di negara ini.











