Isteri dicerai angkara fitnah - Utusan Malaysia

Isteri dicerai angkara fitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA seseorang itu berkahwin, bukan setakat ‘berkahwin’ dengan pasangan itu sahaja, tetapi dengan seluruh ahli keluarganya. 

Baik buruk keluarga pasangan harus diterima dengan hati terbuka dan berlapang dada. 

Kadang-kala hubungan dengan suami tiada masalah, tetapi kerana ada beberapa isu termasuk campur tangan keluarga terutama mentua dan ipar duai, hubungan dibina bertahun, musnah sekelip mata. 

Demikianlah dengan kisah hidup Nor (bukan nama sebenar) yang saya kongsikan minggu ini. 

Nor yang saya temui baru-baru ini mengakui berdepan masalah dengan keluarga suami terutama ibu bapa mentua dan ipar duai sehingga membawa kepada perceraian. 

“Bukan niat saya untuk mengaibkan siapa-siapa, namun diharap apa yang saya kongsikan ini dapat dijadikan iktibar buat diri sendiri dan orang lain,” ujarnya. 

Katanya, sejak awal lagi dia tidak diterima masuk dalam keluarga besar bekas suami. 

Ini kerana kedua ibu bapa Amar (bukan nama sebenar) sudah mempunyai pilihan iaitu adik sepupunya, Ziana (bukan nama sebenar) untuk dijadikan isteri. 

Memburukkan lagi keadaan apabila kedua ibu bapa dan ipar duai termakan fitnah dan tohmah ditabur salah seorang ahli keluarga mereka. 

“Saya dikatakan datang dari keturunan keluarga ‘gila’ dan tidak baik. Alasan mereka menolak saya kerana enggan anak cucu mereka mewarisi sakit mental yang dibawa arwah bapa saya. 

“Disebabkan itu pelbagai cara diambil untuk mereka memisahkan hubungan kami,” ujar Nur memulakan perbualan. 

Menyingkap kisah bapanya yang terperangkap dalam tekanan perasaan selama dua tahun, Nor berkata, segala-galanya bermula selepas kematian ibu, pertengahan 2002. 

Duka kehilangan akibat kematian ibu menyebabkan gangguan emosi kepada bapanya. 

“Selepas meneliti fizikal dan kesan emosi, ayah didianogsis menghidap sindrom penafian disebabkan masih tidak percaya kehilangan ibu. 

“Kesedihan bapa berpanjangan dan bertambah teruk sehingga menganggu pekerjaan serta kehidupan harian kami sekeluarga,” akui Nor. 

Setelah dua tahun mengalami gangguan emosi bapanya akhirnya dijemput Ilahi. Ketika itu dia menuntut di tahun pertama di salah sebuah universiti di utara tanahair. 

Manakala, dua adiknya masing-masing di tingkatan tiga dan lima dijaga ibu saudara mereka. 

Membuka cerita tentang hubungannya dengan bekas suami, mereka berkahwin atas dasar suka sama suka. 

Perkenalan singkat dalam satu majlis membuahkan bibit-bibit cinta dan akhirnya mereka sepakat untuk menghalalkan hubungan selepas tiga bulan mengenali hati budi. 

Pun begitu, sebelum mereka diijab kabul banyak ujian dan cabaran dihadapi Nor dan Amar. 

Walaupun berdepan dengan pelbagai ujian, jodoh mereka kuat. 

“Saya berkahwin dengan suami, di mana ketika itu kami berdua sudah mempunyai kerjaya stabil. 

“Suami bekerja sebagai guru di sekolah menengah, manakala saya pegawai di salah sebuah syarikat swasta. 

“Walaupun gaji saya melebihi suami, dia tetap menghulur duit belanja kepada saya. 

“Jujur, saya katakan bekas suami saya baik dan bertanggungjawab orangnya termasuk kepada keluarga terutama kedua ibu bapanya,” ujarnya. 

Kata Nor, menjadi adat apabila orang sudah tidak suka pelbagai cara dilakukan. Ini termasuk terus memburuk-buruk dan memfitnahnya. 

Awalnya, bekas suami tidak menghiraukan kata-kata ibu bapa dan adik beradik mengenai dirinya. 

Namun lama kelamaan, suami mulai berubah sikap sebaik usia perkahwinan mereka memasuki setahun. 

Bermulalah satu-satu perkara berbangkit. Pertama, sejak berkahwin tanda-tanda untuk mereka menimang cahaya mata belum ada. 

Mulanya, suami tidak kisah kerana katanya, itu semua kerja Allah. Mereka hanya perlu berusaha dan berdoa. 

Namun, disebabkan ibu bapa dan adik beradik ipar duai terus terusan meracun fikiran bekas suami, pendiriannya mulai goyah. 

Kedua, bekas suami sudah mulai mengeluarkan kata-kata yang benar-benar menguris perasaan setiap kali mereka bergaduh. 

Dia sudah berani menuduh saya mandul dan berketurunan ‘gila’. 

“Kemuncak semua perkara itu adalah apabila pada suatu hari bekas suami memberitahu mahu berkahwin dengan wanita pilihan keluarganya dan mahu menceraikan saya,” ujarnya. 

Awalnya, Nor merayu agar tidak melepaskannya kerana dia masih sayangkan perkahwinan mereka. 

Namun setelah hampir dua bulan makan hati dek sikap dan perangai Amar yang semakin berubah, akhirnya dia bersetuju untuk undur diri. 

Menurut Nor, apa guna dia terus mempertahankan rumah tangga yang kasih sayang di dalamnya sudah lenyap. 

Dia dan Amar bercerai secara sah pada pertengahan Jun tahun lalu. Sebaik berpisah, masing-masing membawa haluan sendiri. 

Apa yang diketahui, bekas suami telah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan keluarga. 

Kata Nor, sehingga ke hari ini dia masih bersendirian. Adalah lebih baik katanya membujang sampai ke tua daripada memilih pasangan yang salah dan membuat diri menderita.

Sesungguhnya, perbuatan fitnah turut dikecam keras oleh Rasulullah SAW. 

Baginda bersabda dalam hadis yang diriwayat oleh Huzaifah R.A bermaksud: Tidak maksud syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba). Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×