‘Ada suami macam tiada suami’ antara punca cerai

Ada suami macam tiada suami antara punca cerai

Ada suami tetapi macam tiada suami antara punca pasangan bercerai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah kewangan punca utama banyak suami isteri berselisih faham kerana tidak berupaya memenuhi keperluan kos sara hidup yang kian meningkat seterusnya mereka memilih bercerai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kaunseling keluarga, Hushim Salleh berkata, masalah kewangan juga ada yang disebabkan mereka tidak pandai menguruskan wang sehingga menganggu keharmonian pasangan.

“Ramai isteri yang jumpa saya menceritakan mereka ada suami tetapi seperti tiada suami kerana suami tidak mampu menyediakan keperluan asas keluarga.

“Selama 40 tahun saya berkhidmat, punca perceraian bermula daripada lelaki kerana mereka selalu ambil mudah dalam menyediakan keperluan asas dan terlalu bergantung pada isteri untuk membantu perbelanjaan keluarga” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, golongan lelaki sepatutnya menjadi pe­mimpin keluarga yang mampu menyediakan keperluan asas walaupun kehidupan tidak mewah.

Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, permohonan perceraian melibatkan pasangan Islam di negeri itu meningkat dengan 3,198 kes tahun lalu berbanding 2,974 kes (2022) dan 1,832 kes (2021).

Mengulas lanjut, Hushim Salleh berkata, pihak-pihak yang terlibat dalam hal ehwal agama seperti Exco di negeri-negeri perlu membuat sesuatu untuk mengatasi masalah ini.

“Exco agama kena buat sesuatu seperti mengadakan program pasca hubungan kerana program kursus kahwin selama dua hari tidak cukup.

“Kerajaan negeri boleh me­nganjurkan program pasca­perkahwinana diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu yang mengandungi modul pengisian harmoni rumah tangga, pengurusan kewangan dan pengurusan stres dalam rumah tangga,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×