Pelombong bahan mineral perlu ada lesen lombong secara sah - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Pelombong bahan mineral perlu ada lesen lombong secara sah – Wan Rosdy

WAN ROSDY Wan Ismail (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan majlis perasmian Seminar Usahawan Pelombong 2024 di Hotel Grand Darul Makmur di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana pemilik tanah yang ada bahan mineral di dalamnya untuk mengeluarkan hasil dan menjalankan aktiviti melombong di tanah mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemilik tanah berkenaan perlu mengikut peraturan ditetapkan oleh kerajaan negeri dengan mengemukakan permohonan melalui Skim Pelombong Kecil (SPK)

Katanya, dengan memperkenalkan SPK, kerajaan negeri akan dapat menyekat aktiviti melombong yang dilakukan secara haram.

“Sebelum ini ada rakyat menganggap, jika mereka ada tanah dan ada bahan mineral di bawah tanah, itu hak mereka.

“Sedangkan dalam enakmen tanah kerajaan negeri mengatakan bahawa apa jua hasil di bawah tanah adalah milik kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Usahawan Pelombong 2024 di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, setakat ini, kerajaan negeri meluluskan 56 lesen SPK sejak 2022 dan sudah memperoleh pendapatan berjumlah RM2.5 juta.

“Kerajaan negeri tidak menghalang pemilik tanah untuk mendapatkan hasil tetapi perlu mengemukakan permohonan sebelum mengeluarkan bahan mineral.

“Kerajaan negeri akan memberikan kerjasama kepada mereka dan ini boleh dikatakan sebagai ‘win-win situation’. Harga akan menjadi lebih stabil, mereka pun mendapat pulangan baik, kerajaan negeri dapat hasil dan ia dapat dipasarkan dengan lebih sistematik dan teratur berbanding sebelumnya,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri dalam usaha ke arah sifar perlombongan haram justeru berharap agar dapat membantu pengusaha menghalalkan aktiviti berkenaan melalui SPK.

“Pemilik tanah yang ingin menyertai SPK boleh mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri melalui (PTG) Pejabat Tanah dan Galian dan (PMC) Pahang Mining Corporation. Tetapi sekiranya ada mana-mana pihak yang melombong secara haram, kita akan tangkap dan dakwa mereka terus ke mahkamah,” ujarnya.

Menyentuh tentang penubuhan Akademi Mineral Malaysia Pahang, Wan Rosdy berkata, akademi berkenaan akan menjadi nadi utama sebagai pusat peningkatan latihan kemahiran, khususnya kepada pekerja sedia ada di dalam industri ini di samping dapat melatih dan mempersijilkan bakal tenaga kerja baharu yang berkemahiran yang sangat diperlukan dalam industri perlombongan dan pengkuarian.

“Saya juga mahu supaya agensi berkaitan seperti PMC, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang untuk bekerjasama dengan Akademi Mineral Malaysia Pahang bagi merancang satu kursus wajib sebagai polisi atau sistem dalam kelulusan dan pembaharuan lesen oleh pemain industri perlombongan dan pengkuarian.

“Akademi Mineral Malaysia Pahang ini juga akan berfungsi sepenuhnya nanti sebagai pusat ‘capacity building’ secara holistik bagi industri mineral di negeri Pahang khususnya, dan Malaysia amnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×