HANOI: Jalan-jalan di sekitar ibu negara Vietnam diselubungi asap tebal sehingga mengurangkan jarak penglihatan yang menjadikan bandar itu mendahului senarai bandar antarabangsa paling tercemar.
Situasi itu berlaku akibat pencemaran udara yang disebabkan oleh pelepasan asap kenderaan dan habuk pembinaan.
Berdasarkan data daripada AirVisual, bacaan zarah kecil berbahaya yang dikenali sebagai PM2.5 dalam udara di Hanoi berada pada 187 mikrogram setiap meter padu pada Isnin lalu.
Ia merupakan bacaan tertinggi dalam senarai bandar antarabangsa yang paling tercemar.
“Ini sudah tentu membahayakan kesihatan penduduk.
“Saya rasa pencemaran di bandar ini berpunca daripada sejumlah besar kenderaan peribadi dan habuk halus dari pembinaan, ditambah pula dengan cuaca sejuk ini,” kata penduduk Hanoi bernama Duong Kim Oanh, 58.
Dilaporkan, AirVisual menyediakan maklumat pencemaran udara global bebas melalui aplikasi telefon.
Menurut laporan Bank Dunia 2021, pelepasan asap daripada lapan juta kenderaan berdaftar di Hanoi menyumbang 30 peratus daripada pencemaran zarah udara, dan pelepasan industri menyumbang 30 peratus.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Pham Thi Phuong memaklumkan pencemaran itu akan menjejaskan sistem pernafasan individu sehingga membuatkan mereka berasa sakit atau sesak nafas.
Dilaporkan, hampir 100 penerbangan keluar masuk di lapangan terbang antarabangsa di Hanoi terpaksa ditangguhkan atau dilencongkan ke bandar lain pada 2 Februari lalu akibat kabus tebal dan pencemaran udara yang semakin teruk. – REUTERS










