SAUDARA PENGARANG,
BERDASARKAN statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia akan mencapai status negara tua pada 2030 dengan peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas adalah 15.3 peratus.
Dari segi penjawat awam, jumlah pesara juga telah meningkat sebanyak 11 peratus dari 2018 iaitu seramai 813,371 pesara kepada 916,766 pesara pada 2023.
Walau bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia termasuk penjawat awam kurang peka atau mengabaikan amalan pemakanan sihat sehingga menjejaskan kesihatan diri.
Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kesihatan 2019, 95 peratus orang dewasa mengambil buah dan sayur yang tidak mencukupi, 30.4 peratus dewasa mengalami lebih berat badan, 38.1 peratus dewasa mempunyai kadar kolesterol tinggi dalam darah, 18.3 peratus dewasa mempunyai penyakit diabetes melitus, 30 peratus dewasa mempunyai penyakit hipertensi dan 19.7 peratus dewasa mengalami obesiti.
Peningkatan jumlah pesakit boleh membebankan institusi kesihatan dan meningkatkan kos perbelanjaan perubatan di peringkat individu mahupun kerajaan yang masih menampung sepenuhnya perbelanjaan perubatan penjawat awam dan pesara di institusi kesihatan kerajaan.
Kementerian Kesihatan mengeluarkan Garis Panduan Diet Pemakanan Malaysia 2020 yang antara lainnya mengandungi panduan, cadangan serta kaedah pemakanan yang sesuai untuk diikuti oleh rakyat Malaysia.
Selaku peneraju pembelajaran sektor awam, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) turut menyediakan wadah latihan kepada bakal pesara bagi memastikan bakal pesara dapat menjalani hari persaraan dengan kesihatan yang baik melalui amalan pemakanan yang sihat.
Semua ketua jabatan dimohon untuk memastikan setiap warga jabatannya diberi pendedahan mengenai amalan pemakanan yang baik kerana dengan kesihatan yang baik, penyampaian perkhidmatan akan lebih produktif dan responsif, bebanan perbelanjaan perubatan kerajaan juga akan turut berkurang. – UTUSAN
AHMAD ZAFWAN SULAIMAN
Ketua Unit Latihan Pasca Perkhidmatan INTAN










