Syarikat Australia nyatakan komitmen melabur di Malaysia 

Syarikat Australia nyatakan komitmen melabur di Malaysia 

BAM
TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri memberitahu, sebanyak tujuh syarikat Australia menyatakan komitmen menambah dan membawa pelaburan baharu ke Malaysia. 

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan komitmen pelaburan itu semasa Mesyuarat Meja Bulat bersama Pemimpin Industri di Australia hari ini.

Bagaimanapun, katanya, proses memuktamad pelaburan itu akan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun, namun keutamaan ketika ini ialah meyakinkan mereka supaya melabur di Malaysia.

“Komitmen dinyatakan syarikat-syarikat Australia ini melibatkan penambahan pelaburan sedia ada, selain membawa masuk pelaburan baharu.

“Mereka mengadakan pertemuan bersama MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan berunding bersama agensi-agensi berkaitan.

“Kami mengharapkan mesyuarat di sini, terutamanya dengan komitmen oleh Perdana Menteri sendiri yang memberi jaminan kepada mereka untuk kita mempercepat proses dan memperbaharui beberapa dasar sedia ada,” katanya selepas mesyuarat bersama pemimpin dan eksekutif kanan industri Australia seperti dilaporkan akhbar tempatan. 

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, dalam pertemuan itu Perdana Menteri memberi pandangan mengenai peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia.

“Banyak isu dibangkitkan oleh syarikat dan pelabur dari Australia. Ada yang telah pun melabur dan ada yang akan melabur.

“Perdana Menteri kemudiannya mengadakan pertemuan bersemuka dengan beberapa syarikat dalam industri ekonomi digital, pembuatan berkaitan mineral dan sebagainya serta tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Katanya, syarikat-syarikat Australia mahu supaya kerajaan Malaysia terus mempermudah proses pelaburan dan perdagangan.

“Walaupun ketika ini lebih baik berbanding sebelumnya, masih ada banyak lagi ruang untuk diperbaiki. Perkara lain adalah mengenai keperluan untuk kerajaan terus memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui memandangkan Malaysia mempunyai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

“Syarikat dan juga pelabur ingin mengetahui perkembangan terkini cara kita beralih kepada tenaga boleh diperbaharui kerana mereka memerlukannya untuk pelaburan di Malaysia dan peranan Malaysia dalam perdagangan global kerana mereka berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab untuk eksport ke luar negara,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×