KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini mengulangi permohonan maaf dan menarik balik kenyataan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang menyalahgunakan kuasa.
Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Wan Saiful secara terbuka memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Anwar.
“Saya memang ada menyebut satu perenggan berbunyi ‘Korup itu maksudnya menyalahgunakan kuasa. Ampun Tuanku, orang itu yang menyalahgunakan kuasa itu akan menghadap Tuanku setiap minggu sebelum Mesyuarat Kabinet; ayat itu memang tujukan kepada Tambun (Anwar).
“Jadi seperti mana saya lakukan pada 28 Februari dan saya ulang lagi sekali dalam Dewan pada 29 Februari apabila ditimbulkan oleh Jelutong (RSN Rayer), saya menarik balik ayat tersebut dan saya memohon maaf atas kenyataan tersebut.
“Dan saya dengan rendah memohon maaf atas kekhilafan sekiranya menyentuh perihal Yang di-Pertuan Agong),” katanya di sini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerima permohonan maaf itu. Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bangun dan menarik usul berkenaan.
Sebelum ini, kerajaan dilapor berhasrat mencadangkan Wan Saiful digantung selama enam bulan selepas membuat dakwaan itu semasa sesi perbahasan titah diraja pada 28 Februari lepas.
Ahmad Zahid selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijangka mencadangkan usul itu menerusi aturan urusan mesyuarat dan usul-usul Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Johari atas tindakan bijaksana menyelesaikan isu berkenaan sebaik mungkin.
“Saya rasa rakyat nampak bahawa ahli Parlimen ini adalah mereka yang bertanggungjawab demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya. – UTUSAN











