Pelabuhan kontena pintar AI pertama di Malaysia dibangunkan di Port Dickson - Utusan Malaysia

Pelabuhan kontena pintar AI pertama di Malaysia dibangunkan di Port Dickson

AMINUDDIN Harun (dua dari kiri) bertukar dokumen bersama Andrew (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Anthony Loke pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Di Antara MBINS dengan Midport Holdings Bagi Cadangan Pembangunan Pelabuhan Kontena Pintar AI di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah pelabuhan kontena pintar kecerdasan buatan (AI) yang pertama seumpamanya di negara akan dibina di Pasir Panjang, Port Dickson melibatkan anggaran kos sebanyak RM2 bilion.

Projek di kawasan seluas kira-kira 194 hektar itu dengan tambahan 33.66 hektar tanah dasar laut itu dibangunkan menerusi usahasama Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBINS) dengan syarikat Midport Holdings Sdn. Bhd. (Midport Holdings) yang merupakan anak syarikat Tanco Holdings Berhad.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan pelabuhan kontena pertama di Negeri Sembilan itu pastinya akan merancakkan lagi industri perkhidmatan logistik dan pengangkutan marin negara apatah lagi lokasinya yang sangat strategik iaitu berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MBINS menjelaskan, pelabuhan berkenaan secara asasnya mempunyai jeti sepanjang 1.8 kilometer panjang serta terminal dan kawasan pengoperasian kontena seluas lebih kurang 81 hektar yang dilengkapi sepenuhnya dengan kren gantri yang dioperasikan secara automatik.

“Kapasiti pelabuhan ini dibina untuk menerima kapal-kapal kontena daripada generasi pertama sehingga ke Ultra Max. Bagaimanapun, ia merupakan sebuah pelabuhan sederhana kerana daripada segi kapasiti ia tidak boleh bersaing dengan Pelabuhan Klang. 

“Hasil daripada kajian yang dilakukan, kawasan persisiran pantai tersebut mempunyai bentuk muka bumi semulajadi yang bersesuaian untuk pembinaan pelabuhan dengan kedalaman sehingga 20 meter dalam dan lebih kurang 1.85 kilometer jarak dari pesisiran pantai. 

“Saya dimaklumkan bahawa kawasan ini telah diwartakan sebagai Had Pelabuhan (Port Limits) oleh kerajaan Persekutuan sejak 22 Ogos 2017 maka dengan pembinaan pelabuhan ini, ia sekali gus akan merancakkan lagi industri perkhidmatan logistik dan pengangkutan marin negara,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Di Antara MBINS dengan Midport Holdings Bagi Cadangan Pembangunan Pelabuhan Kontena Pintar AI di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, MBINS diwakili oleh Aminuddin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim selaku Ahli Pemegang Amanah MBINS manakala Midport Holdings diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Seri Andrew Tan dan Pengarah Eksekutif, Datuk Andy Chuah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook turut hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu.

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Di Antara MBINS dengan Midport Holdings Bagi Cadangan Pembangunan Pelabuhan Kontena Pintar AI di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Andrew berkata, pelabuhan tersebut akan dibangunkan di lokasi strategik terletak di tanah simpanan milik Tanco Holdings yang dijangka akan membawa pelaburan asing, meningkatkan ekonomi negeri dan negara selain mencipta peluang pekerjaan baharu.

“Pelabuhan ini juga terletak di tengah perairan Selat Melaka yang merupakan salah satu laluan air tersibuk di dunia, lokasi pelabuhan ini juga mampu menampung kapal kontena terbesar di dunia dengan kedalaman semula jadinya sehingga 30 meter.

“Pelabuhan kontena pintar AI ini juga mampu menarik industri teknologi baharu ke Negeri Sembilan dan negara ini sekali gus menjadikan kita lebih berdaya maju daripada segi teknologi dan perindustrian,” katanya.

Tambahnya, pelabuhan ini direka bentuk untuk memanfaatkan secara maksimum teknologi canggih terkini yang membolehkan pengendalian kontena dilakukan secara automatik dan cekap.

Anthony Loke dalam pada itu berkata, projek pelabuhan berkenaan merupakan projek swasta, iaitu dibiayai sepenuhnya oleh pihak syarikat dan merupakan pelaburan swasta tanpa melibatkan apa-apa peruntukan daripada kerajaan.

“Bagi Kementerian Pengangkutan, kami mengalu-alukan keputusan daripada syarikat swasta ini untuk melabur dan membina sebuah terminal baharu di kawasan tersebut dengan kerjasama MBINS,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN