BUTTERWORTH : Seramai 4,154 penerima terdiri daripada kalangan asnaf fakir dan miskin menerima agihan sumbangan berjumlah RM4.7 juta menerusi Program Nur Ramadan di Pulau Pinang bagi mengurangkan beban sempena bulan mulia yang bakal menjelang itu.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2,907,800 membabitkan sumbangan tunai manakala sumbangan hamper pula bernilai RM1,565,400 turut diagihkan kepada penerima terpilih.
Katanya, menerusi peruntukan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) itu, setiap individu menerima sumbangan tunai bernilai RM700 dan hamper e-tunai berjumlah RM100.
“Pada peringkat awal pelaksanaannya, Nur Ramadan hanya melibatkan asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan kewangan bulanan dan bantuan makanan bulanan sahaja.
“Bagaimanapun, bermula pada tahun 2008, program ini telah diperluaskan yang mana sumbangan hamper turut dipertimbangkan melalui permohonan oleh Pusat-Pusat Khidmat ADUN, penyelaras DUN, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Penyediaan peruntukan kepada inisiatif berimpak tinggi ini juga merupakan salah satu strategi dalam merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat,” katanya pada Majlis Agihan Zakat Nur Ramadan di Kompleks Nurul Hidayah di Permatang Tok Gelam, di sini hari ini.
Sementara itu, salah seorang penerima, Mohd Arshad Iran,58, berkata, bantuan terbabit membantu meringankan beban mereka sekeluarga.
“Saya bekeria sebagai nelayan tetapi, sudah lebih setahun tidak turun ke laut disebabkan pergerakan semakin terbatas selepas ditimpa kemalangan sejak 15 tahun lalu.
“Dengan adanya bantuan ini, maka, dapatlah saya membeli barangan keperluan sebagai persediaan untuk menyambut Ramadan,” katanya.-UTUSAN










