KUALA LUMPUR: Sekolah jenis kebangsaan Cina tidak pernah mengajar murid-muridnya untuk memandang rendah terhadap orang Melayu dan kaum lain.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata demikian susulan kenyataan seorang ahli akademik mengenai orang Cina yang belajar di sekolah Cina memandang hina orang Melayu.
“Saya dan ramai ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan ini belajar di sekolah Cina. Kami tidak pernah diajar untuk memandang rendah orang Melayu.
Berita berkaitan:
“Kenyataan profesor ini memang memutar belit fakta dan melaga-lagakan hubungan antara masyarakat Melayu dan Cina. Ini adalah hasutan. Kenapa kenyataan rasis dan berputar belit ini tidak disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)?” katanya semasa sesi perbahasan titah diraja.
Mengulas lanjut, Teresa berkata, guru dan pelajar sekolah Cina hari ini terdiri daripada pelbagai kaum.
Katanya, perkara itu turut disahkan Kementerian Pendidikan melalui jawapan Parlimen pada 10 November 2020 apabila terdapat 15.33 peratus pelajar Melayu pada 2020 dan peningkatan berbanding 10 tahun sebelumnya adalah 6.18 peratus.
“Dalam suasana kepelbagaian kaum di sekolah ini, macam mana murid Cina boleh memandang rendah dan menghina Melayu? Dakwaan profesor itu memang salah dan mempunyai unsur hasutan,” katanya.
Terdahulu, Teresa mempersoalkan kriteria digunakan PDRM untuk membuka siasatan terhadap ahli politik tertentu.
Beliau memberikan contoh, kes veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua. – UTUSAN











