KUALA TERENGGANU: Muntah paus tulen atau ambergris mustahil ditemukan di perairan Malaysia khususnya di Pantai Timur kerana ia mempunyai purata kedalaman yang cetek.
Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari berkata, proses pembentukan ambergris berlaku secara tidak sengaja disebabkan sistem pencernaan ikan paus sperma apabila memakan sotong-sotong.
Katanya, sotong yang dimakan pula adalah daripada sotong gergasi di laut dalam dan berdasarkan faktor itu, spesies ikan paus sperma turut dikenali sebagai deep diver.
“Jadi saya boleh katakan adalah mustahil atau peluang sangat tipis untuk kita jumpa ambergris di perairan Pentas Sunda kerana purata kedalamannya kurang daripada 100 meter.
“Lemak-lemak atau minyak yang terapung di permukaan laut daripada sumber-sumber tertentu juga mampu membentuk objek yang seakan-akan ambergris disebabkan tindak balas cahaya matahari dan air laut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Baru-baru ini, seorang penduduk, Mahamud Kechik, 60, mendakwa menemukan objek dipercayai muntah paus seberat lapan kilogram di Pantai Kelulut, Marang dekat sini.
Berikutan penemuan itu, Mahamud mendakwa menerima tawaran lumayan daripada beberapa individu yang datang ke rumahnya di Kampung Rhu Muda untuk membeli objek yang dipercayai menyerupai muntah paus untuk dijadikan ramuan dalam perubatan tradisional cina.
Mengulas lanjut, Hasrizal berkata, kebanyakan sampel yang dipercayai muntah paus yang telah dianalisis di makmal PPPL UMT satu ketika dahulu mendapati terdapat komponen lemak yang seakan-akan berasal daripada minyak masak.
“Jadi tidak hairanlah sekiranya penemuan ketulan-ketulan yang seakan-akan ambergris ini boleh berlaku sepertimana yang dilaporkan itu.
“Namun, sekiranya terdapat keyakinan yang tinggi bahawa ketulan yang dijumpai itu adalah ambergris, analisis makmal boleh dilakukan bagi mengesahkan ketulenannya,” katanya. – UTUSAN











