NARATHIWAT: Bukan setakat Hatyai di Thailand dikerumum rakyat Malaysia tetapi di pantai Narathiwat di sini juga semakin menjadi destinasi pilihan untuk rakyat Malaysia ‘makan angin’.
Perkara itu digambarkan seorang peniaga di pantai berkenaan Fatihah Sukri, 32, yang memberitahu pantai tersebut akan dibanjiri rakyat Malaysia setiap hujung minggu bermula Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Menurutnya, kenderaan milik rakyat Malaysia akan berpusu-pusu masuk ke kawasan ini seawal pukul 10 pagi hingga malam.
“Suasana lebih meriah menjelang petang. Suasana pantai yang cantik, redup menjadi pilihan rakyat Malaysia ke sini.
“Kehadiran rakyat Malaysia membawa rezeki kepada kami di sini yang rata-ratanya orang Melayu. Setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad saya mampu menjual 500 batang sosej bakar dan sate ikan sehari,” katanya.
Namun, Fatihah berkata, hari Isnin hingga Khamis jualannya merosot disebabkan ketiadaan pengunjung dari luar.
Katanya, kebanyakan yang berkunjung ke pantai ini penduduk dari Kelantan kerana jarak pantai ini dengan Kelantan tidak jauh.
Sementara itu, seorang penduduk Nazri Masjid, 40, berkata, kehadiran pelancong Malaysia pada hujung minggu menjadikan bandar Narathiwat lebih meriah.
Katanya, ia membuka peluang rezeki kepada masyarakat Melayu di sini yang berniaga berasaskan makanan.
“Saya bekerja di Malaysia sebagai tukang masak sebelum pandemik Covid 19. Tetapi sekarang ini membuka gerai air viral di pantai Narathiwat untuk menyara keluarga dan ia lebih berbaloi berbanding bekerja di Malaysia,” katanya.
Ceritanya, tarikan pantai ini bukan baharu malah sudah lama tetapi ketika ini bertambah ramai yang berkunjung ke pantai ini. – UTUSAN









