Gubal akta, tubuh Suruhanjaya Keterjaminan Makanan Malaysia

Gubal akta, tubuh Suruhanjaya Keterjaminan Makanan Malaysia

SURUHANJAYA Keterjaminan Makanan dijangka memainkan peranan secara lebih berfokus kepada isu keterjaminan makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU keterjaminan makanan sudah lama menjadi isu penting kepada dunia dan Malaysia juga tidak ketinggalan walaupun buat masa ini kita tidak pernah menghadapi masalah besar untuk memastikan rakyat mudah mendapatkan bekalan makanan.

Keterjaminan makanan bukan sahaja perlu dijaga demi mewujudkan kemakmuran, tetapi natijah kekurangan makanan jika menjadi kronik boleh mengganggu keamanan, mencetuskan kemarahan rakyat dan negara mudah menjadi tidak stabil. Kegagalan menjamin rakyat mendapat makanan yang cukup boleh menjerumuskan negara ke lembah kacau bilau dan boleh mengancam keselamatan.

Negara yang tidak stabil tidak akan dapat menjemput pelabur, akibatnya ekonomi semakin merudum dan rakyat akan lemas dalam pusaran ekonomi yang menghancurkan. Isu ketidakcukupan bekalan beras tempatan dalam pasaran negara baru-baru ini seharusnya menjadi satu wake up call atau kejutan amaran kepada semua, khususnya kepemimpinan negara dan mereka yang berkait secara langsung atau tidak langsung dalam produktiviti dan pembekalan makanan negara.

Masalah paling mendasar mengenai perbekalan beras tempatan adalah produktiviti yang amat rendah dan tidak menguntungkan hingga sebilangan besar pesawah tidak berminat menanam padi, justeru, banyak tanah padi yang terbiar. Penulis juga menjangka produktiviti pertanian lain juga masih boleh ditingkatkan, khususnya kelapa sawit kerana isu asasnya juga adalah kualiti tanah dan pembajaan.

Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 5 memberi jaminan hak untuk hidup kepada rakyatnya, namun tidak ada dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan tersebut memberi jaminan secara khusus untuk mereka mendapat makanan. Justeru, mungkin perlu wujudnya pentafsiran ke atas Perkara 5 Perlembagaan yang memasukkan maksud hak untuk hidup tersebut termasuk hak ke atas makanan dan hak ke atas apa-apa keperluan asas hidup yang lain.

Konsep asas keterjaminannmakanan ialah untuk memastikan semua orang pada setiap masa boleh mendapatkan bekalan makanan asas untuk kelangsungan hidup aktif dan sihat. Buat masa ini, ada dua akta yang berkait dengan elemen keterjaminan makanan telah wujud iaitu Akta 109 dan Akta 281, namun kedua-duanya hanya berkait secara tidak langsung.

Akta 109 menyentuh hal peningkatan produktiviti pertanian, penggunaan praktik pertanian terbaik, kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan serta peningkatan kualiti dan keselamatan makanan. Manakala Akta 281 pula berkait dengan pengawalan kualiti makanan, pelabelan dan pengiklanan, pencegahan makanan berbahaya, kuasa penguatkuasaan serta hukuman ke atas pelanggaran.

Sorotan ke laman sesawang Kementerian Pertanian memberi maklumat tentang wujudnya lima strategi teras perancangan tindakan keterjaminan makanan 2021- 2025. Dalam Strategi Teras ke 5, ada elemen memperkukuh pemantauan berkaitan keterjaminan makanan. Strategi Teras ke 5 tersebut menyentuh berkenaan empat perkara: memperkukuh pemantauan berkaitan keterjaminan makanan, memperkukuh infrastruktur dalam sistem makanan, memperkasa advokasi berkaitan keterjaminan makanan dan memperkukuh akta dan peraturan bagi menjamin kemampanan sumber dan bekalan makanan.

Penulis tidak ada maklumat sejauh mana perancangan strategi teras ini sudah terlaksana, namun berasa bukan satu kejanggalan untuk terus membuat cadangan. Buat masa ini, Akta 281 secara khususnya lebih berkait dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, manakala Akta 109 pula lebih berkait dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Pertindihan kuasa penguatkuasaan tanpa ada satu badan khas untuk memantau secara berterusan boleh menyebabkan salah faham, saling mengharap malah saling menyalahkan jika timbul masalah mengenai ketiadaan penguatkuasaan. Dalam satu wacana saran rambang bersama Profesor Abdol Samad Nawi serta beberapa rakan pensyarah UiTM Kelantan yang lain beberapa minggulepas, kami sepakat untuk mencadangkan kepada kerajaan agar ditubuhkan sebuah suruhanjaya berkait keterjaminan makanan, sama ada dengan nama Suruhanjaya Keterjaminan Makanan Malaysia (SKMM), atau apa-apa nama yang lebih sesuai.

Suruhanjaya ini dijangka akan memainkan peranan secara lebih berfokus kepada isu keterjaminan makanan, termasuk merangka strategi jangka panjang, selain daripada penguatkuasaan dalam hal-hal yang berkait. Peranan suruhanjaya ini nanti akan lebih terserlah apabila mana-mana kementerian yang gagal mengawal pelaksanaan sesuatu kepentingan keterjaminan makanan dijangka tidak akan mengambil tindakan ke atas jabatan sendiri.

Contohnya, dalam hal menjaga kualiti tanah dan pembajaan, yang amat berkait dengan produktiviti untuk menjamin kelangsungan bekalan makanan seperti padi dan kelapa sawit, siapakah yang diharap akan mengambil tindakan ke atas kegagalan pemantauan kualiti baja dan kesuburan tanah?

Penulis mengambil contoh ini kerana tanah kita yang satu ketika dahulu disebut sebagai jauh lebih subur daripada tanah Thailand, kini menjadi amat tidak subur berpunca daripada jenis dan kualiti baja dan telah menjejaskan produktiviti dan hasil tanaman dalam negara sejak beberapa dekad. Justeru, suruhanjaya tersebut dijangka bebas daripada entiti yang bertanggungjawab memproses perolehan dan akan lebih bebas untuk membuat penyiasatan dan mengambil tindakan.

Malah, pelaksanaan Strategi Teras ke 5 dalam Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 akan lebih berkesan melalui suruhanjaya ini. Penulis berpendapat suruhanjaya tersebut lebih wajar diwujudkan dengan menggubal aktanya tersendiri supaya peranannya lebih merangkumi dan akta tersebut adalah Akta Keterjaminan Makanan. – UTUSAN

DR. Mohd Fauzi Shaffie ialah pemerhati sosioekonomi dan politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×