Jerami mendapat permintaan tinggi

Jerami padi dapat permintaan tinggi

jerami
JERAMI yang mempunyai ‘nilai cukup tinggi dan mampu menjana pendapatan, dihasilkan di PPK MADA D-1 Tambun Tulang, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Jerami padi yang sebelum ini dianggap tidak bernilai dan hanya dibakar atau dibuang, mempunyai ‘nilai’ cukup tinggi apabila dimanfaatkan sekali gus mampu menjana pendapatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kebelakangan ini, jerami gulung dan kotak yang dijadikan makanan haiwan ternakan dan perhiasan sebagaimana trend terkini sempena musim panas, mendapat permintaan luar biasa dari seluruh negara.

Malah, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) D-1 Tambun Tulang yang menghasilkan jerami gulung sejak 2015, mampu menjual sehingga 3,000 ke 4,000 ketul seberat 720,000 kilogram atau 720 tan metrik.

Secara tidak langsung, PPK juga mampu menjana hasil sehingga RM280,000 dalam tempoh setahun berikutan permintaan yang cukup tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus PPK MADA D-1 Tambun Tulang, Yusrizal Abu Bakar berkata, setiap gulung jerami yang dihasilkan seberat 150 hingga 180 kilogram dijual pada harga RM70.

Katanya, dalam tempoh sehari, mereka mampu menyiapkan sehingga 160 gulung jerami bagi menampung permintaan yang tinggi.

Ujarnya, jerami itu dijual khususnya kepada penternak, pengusaha-pengusaha program atau karnival seperti Pesta Angin Timur selain individu yang membeli untuk tujuan perhiasan di inap desa dan majlis perkahwinan.

“Jerami ini hanya pada musim kemarau dari Januari sehingga Mac. Pada musim itu, kita akan kutip jerami di kawasan bendang sekitar Tambun Tulang sebelum menghasilkan jerami gulung.

“Sejak 2015, ia memang mendapat sambutan dan tidak pernah tidak habis terjual. Permintaan dari seluruh negara dan kebelakangan ini menjadi trend jerami gulung dijadikan perhiasan dalam program atau karnival.

“Malah, sempena Pesta Angin Timur 2024, sebanyak 150 jerami gulung dijual untuk kegunaan sempena pesta tersebut. Selain itu, Jabatan Pertanian juga membelinya untuk dijadikan makanan ternakan,” katanya.

Tambah Yusrizal, selain PPK Tambun Tulang, PPK Kayang juga menghasilkan jerami gulung berkenaan.

“Sebelum ini, kita lihat jerami hanya akan dibakar atau dibuang. Sebenarnya ia mempunyai nilai dan mampu menjana pendapatan.

“Kita mempunyai mesin bagi menghasilkan jerami gulung dan kotak dengan pekerja seramai lima orang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN