PETALING JAYA: Dua pertiga atau 66.2 peratus graduan yang bekerja sendiri adalah dalam kalangan usahawan.
Laporan Mendepani Cabaran: Perkembangan Kerjaya Bakat Mahir Malaysia oleh Institut Kajian Khazanah menyatakan, daripada rekod itu, 43.6 peratus adalah pemilik tunggal manakala 22.6 peratus adalah majikan.
Katanya, satu pertiga selebihnya merupakan pekerja bebas termasuk pekerjaan gig seperti e-panggilan (e-hailing) dan p-panggilan (p-hailing).
“Bekerja sendiri adalah pilihan sementara untuk graduan baharu sebelum beralih kepada pekerjaan standard. Sekitar 16 peratus graduan baharu bekerja sendiri berbanding hanya 10 peratus dalam kalangan graduan berpengalaman.
“Ini menunjukkan graduan lebih memilih pekerjaan standard yang lebih stabil dari segi kerjaya dan kewangan,” kata laporan itu.
Selain itu, katanya, 81.8 peratus daripada keseluruhan graduan yang bekerja sendiri lebih tertumpu dalam sektor perkhidmatan, manakala sektor perindustrian meliputi 16.8 peratus diikuti 1.4 peratus dalam sektor pertanian.
“Pelbagai faktor yang mendorong bakat berpendidikan tinggi untuk bekerja sendiri antaranya peluang mendapatkan pendapatan lebih tinggi, fleksibiliti yang lebih baik atau tidak mempunyai kerja sepenuh masa,” katanya.
Bagaimanapun, jelas laporan itu, graduan yang bekerja sendiri menghadapi pelbagai cabaran serta mempunyai perlindungan sosial yang terhad.
“Perlindungan sosial yang terhad dengan lebih satu pertiga pemilik tunggal dan pekerja bebas tidak dilindungi daripada jenis perlindungan sosial. Ini didorong oleh pendapatan mereka yang rendah dan tidak menentu selain tiada peraturan mewajibkan sumbangan keselamatan sosial,” katanya.
Katanya, majikan memperoleh pendapatan lebih tinggi berbanding yang lain, menyaksikan 15.5 majikan berpendapatan melebihi RM5,000, berbanding hanya satu peratus dalam kalangan pemilik tunggal serta 1.8 peratus untuk pekerja bebas.
Lebih membimbangkan, katanya, sebanyak satu pertiga daripada pemilik tunggal dan separuh pekerja bebas berpendapatan kurang RM1,500.
“Cabaran bekerja sendiri terutama melibatkan kesukaran yang bersifat berstruktur, pentadbiran serta peribadi. Untuk majikan, cabaran-cabaran tersebut lebih seimbang.
“Namun, pemilik tunggal cenderung kepada cabaran peribadi seperti kemahiran komunikasi dan insaniah. Sebaliknya, pekerja bebas cenderung kepada cabaran berstruktur seperti kestabilan pendapatan serta akses kepada suasana kerja yang baik,” katanya. – UTUSAN










