Perkasa perpustakaan desa

Perkasa perpustakaan desa

PERPUSTAKAAN Desa Oran di Kangar, Perlis. – GAMBAR PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-6 (RMKe-6), Perpustakaan Awam Negeri telah mewujudkan dan menguruskan 614 buah perpustakaan desa.

Langkah ini telah memberi impak yang besar kepada penduduk setempat, terutamanya mereka yang tidak mempunyai kemudahan perpustakaan awam di kawasan kediaman mereka. Ia bukan sekadar tempat untuk membaca, tetapi juga menjadi pusat aktiviti sosial dan pembelajaran komuniti.

Namun, salah satu cabaran utama adalah kekurangan sumber dan peruntukan. Mereka terpaksa beroperasi dengan bajet yang terhad, menyebabkan sukar untuk memperbaharui koleksi bahan bacaan dan mengekalkan kemudahan yang selesa bagi para pembaca.

Kekurangan tenaga kerja juga merupakan satu isu serius. Kebanyakan perpustakaan desa hanya mempunyai beberapa orang kakitangan sahaja, terpaksa mengendalikan pelbagai tugas dari meminjamkan buku hingga menguruskan program-program komuniti. Ini sering mengakibatkan keletihan dan kesukaran dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti.

Dalam era digitalisasi ini, perpustakaan desa juga menghadapi cabaran untuk mengekalkan relevansi mereka, mengintegrasikan teknologi dalam perkhidmatan untuk menarik generasi muda dan menyediakan akses kepada sumber-sumber maklumat digital. Namun, pelaburan dalam infrastruktur teknologi dan latihan untuk kakitangan mungkin menjadi satu beban tambahan yang sukar.

Walaupun menghadapi cabaran, perpustakaan desa terus berperanan sebagai pusat kegiatan komuniti tempatan. Ia menjadi tempat berkumpulnya penduduk setempat untuk berkongsi ilmu, pengalaman, dan idea. Ia juga sering menjadi tapak untuk pelbagai aktiviti kebudayaan dan pendidikan seperti bengkel menulis, perbincangan buku, dan pameran seni.

Perpustakaan desa merupakan sebuah platform yang berharga dalam memperkukuhkan perpaduan rakyat Malaysia melalui akses kepada ilmu pengetahuan, pembangunan komuniti dan pembangunan insan. Dengan sokongan yang berterusan dari kerajaan dan masyarakat tempatan, peranan perpustakaan desa dalam mencorak masa depan negara tidak dapat dipandang ringan. – UTUSAN

MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI
Pensyarah Kanan
UiTM Cawangan Selangor,
Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×