KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM702.48 bilion pada Disember 2023, berbanding RM643.38
bilion pada 2022.
KWSP berkata, pelaburan dalam pasaran domestik adalah melebihi 80 peratus daripada peruntukan pelaburannya bagi 2023.
Katanya, sehingga Disember 2023, KWSP memegang lebih kurang 28 peratus daripada lebihan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan lebih kurang 12 peratus daripada permodalan pasaran Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia.
“Penyertaan KWSP di Bursa Malaysia dari segi nilai yang didagangkan ialah 23 peratus untuk saham FBM100, dan 31 peratus untuk saham FBMKLCI.
“Penyertaan ini termasuk dagangan oleh pengurus dana luar domestik, yang telah menerima lebih RM4 bilion suntikan untuk portfolio ekuiti domestik sejak lima tahun lalu.
“Jumlah suntikan lebih RM3 bilion kepada pengurus pendapatan tetap luaran telah menjadikan jumlah suntikan kepada pengurus dana Malaysia kepada lebih RM7 bilion. Suntikan ini adalah sebahagian daripada usaha diversifikasi jangka
panjang KWSP serta untuk merangsang pasaran modal domestik dan industri pengurusan aset,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










