Halang pili bomba: Jumlah kompaun dikeluarkan di Negeri Sembilan meningkat - Utusan Malaysia

Halang pili bomba: Jumlah kompaun dikeluarkan di Negeri Sembilan meningkat

ANGGOTA bomba menyelenggara salah satu pili bomba yang terdapat di sebuah kawasan perumahan di Tampin, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengeluaran kompaun atas kesalahan menghalang pili bomba mencatatkan peningkatan di Negeri Sembilan sepanjang tiga tahun lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Abdul Khair Osman berkata, pada tahun 2021 pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 33 kompaun diikuti sebanyak 40 kompaun pada tahun 2022 manakala pada tahun lalu sebanyak 56 kompaun telah dikeluarkan.

“Oleh kerana pembangunan yang semakin pesat, setiap tahun pegawai bomba akan meningkatkan pemantauan terhadap pili bomba demi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan sedia untuk digunakan.

“Begitu juga pelaksanaan pengkompaunan kesalahan akan dikenakan terhadap kenderaan yang menghalang dan mengganggu pili bomba sebagaimana peruntukan Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988,” katanya di sini.

Sementara itu beliau berkata, terdapat keseluruhan sebanyak 22,864 buah pili bomba awam di negeri ini manakala pili bomba swasta sebanyak 4,429 buah.

Kata Abdul Khair, daripada jumlah tersebut, terdapat 176 buah pili bomba telah didapati mengalami kerosakan dan perlu diganti dengan segera.

“Kerosakan yang dialami termasuklah melibatkan pili yang patah, penutup chamber (kebuk) yang hilang dan tertimbus selain injap patah,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut beliau, keahlian Teman Pili Bomba di negeri ini kini mencecah seramai 8,989 orang dengan masing-masing memain peranan membantu menjaga dan melapor kepada JBPM agar pili bomba setiap berada dalam keadaan baik.

Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengarahkan JBPM melakukan operasi besar-besaran untuk memeriksa dan memastikan pili bomba di seluruh negara termasuk 351,000 pili bomba milik kerajaan berada dalam keadaan baik dan boleh berfungsi ketika kecemasan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×