Tabung Wakaf Mara Madani RM1 bilion

Tabung Wakaf Mara Madani RM1 bilion

ANWAR Ibrahim (tengah) bersama pemimpin-pemimpin lain memegang buku Laporan Sesi Libat Urus Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Putrajaya, semalam. - MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bakal mewujudkan Tabung Wakaf Mara Madani dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun dengan diterajui oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Usaha itu antara tujuh inisiatif baharu bagi memperkasa ekonomi bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di sini, semalam.

Anwar berkata, Tabung Wakaf Mara Madani itu akan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran Mara dan dijangka memberi manfaat kepada 70.1 peratus rakyat bumiputera.

“Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga berkenan menjadi penaung kepada sistem wakaf ini dan prestasi Wakaf Mara Madani dilaporkan secara berkala kepada Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.

Anwar berkata, inisiatif lain ialah meluluskan dana permulaan RM1 bilion bagi melahirkan usahawan baharu dalam kalangan bumiputera.

Kata Perdana Menteri, kerajaan turut bersetuju melanjutkan potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham seperti Wakaf ASNB dan Waqaf An-Nur di bawah Johor Corp.

Selain itu, Skim Perumahan Madani disediakan di tanah rizab Melayu dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik dalam kadar segera.

“Kerajaan juga akan memastikan pemilikan sejumlah 200 ekar tanah kerajaan, termasuk 50 ekar tanah di Bandar Malaysia kekal dimiliki orang Melayu bagi menjamin ketersediaan perumahan mampu milik untuk Melayu supaya kekal di kawasan pusat bandar,” katanya.

Sebagai tambahan kepada menyokong institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan, beliau berkata, kerajaan dengan kerjasama GLIC, GLC serta badan-badan swasta terpilih memberi komitmen melatih seramai 100,000 pelatih dalam tempoh lima tahun termasuk menyediakan tawaran pekerjaan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengkhususkan dana pembiayaan kredit mikro bumiputera sehingga RM1 bilion melalui institusi Kewangan Pembangunan seperti BSN, Agrobank, dan TEKUN Nasional.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju mewujudkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak pekerja gig yang kini mencecah seramai 1.12 juta orang, terutama dari segi keperluan perlindungan sosial, pertikaian kontrak serta kemajuan kerjaya.

Bagi mendukung pembangunan vendor tempatan pula, kata beliau, kerajaan akan menambah baik insentif cukai serta menyediakan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta bagi menggalakkan lebih banyak syarikat swasta melaksanakan program pembangunan vendor.

“Usaha ini dijangka dapat memanfaatkan sehingga 10,000 PMKS tempatan terutama usahawan bumiputera selain ia turut dibuka untuk membimbing misalnya PMKS kaum India,” katanya.

Jelasnya lagi, bagi memartabat dan menyokong hasil seni pengusaha tempatan, bermula semalam semua jabatan dan agensi kerajaan serta GLC hanya dibenarkan membeli sebagai cenderahati hasil seni yang diusahakan oleh pengusaha bumiputera.

Dalam pada itu, Anwar menggariskan tiga ketetapan pelan jangka panjang pemerkasaan bumiputera bagi tempoh 10 tahun akan datang bermula tahun ini.

Perdana Menteri berkata, ia dicerakinkan selepas menerima kesemua intipati hasil daripada KEB 2024 yang berakhir, semalam.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, agenda pemerkasaan bumiputera ini wajar dilaksanakan melalui beberapa pemacu yang menjadi fokus utama yang agihkan kepada tiga isbat.

“Isbat (ketetapan) pertama ialah memperkukuh pasak ekonomi negara iaitu memberi fokus kepada beberapa pemacu utama yang melibatkan usaha mengukuhkan daya saing, meningkatkan penskalaan, meningkatkan dan mengekalkan pemilikan ekuiti, mencipta kekayaan, membangunkan bakat, meningkatkan pendapatan dan menoktahkan kemiskinan tegar.

Bagi isbat kedua, Anwar berkata, kerajaan memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi yang mana penekanan diberikan kepada penghayatan dan falsafah bumiputera.

Isbat ketiga pula, katanya, ia membabitkan soal menegakkan keadilan sosial yang mana tumpuan perlu diberikan untuk menyokong anjakan mobiliti sosial, meningkatkan kesaksamaan peluang dan memperluas jaringan perlindungan sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×